20 peserta bakal berentap di Pentas Akhir Syarahan Perdana PMBI 2025


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 8 Oktober – Sebanyak 20 peserta bakal berentap di peringkat akhir Pertandingan Syarahan Perdana Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) 2025 yang dijadual berlangsung pada 15 Oktober 2025 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu.

Menurut Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah, para finalis terdiri daripada sepuluh peserta terbaik kategori A (terbuka) dan sepuluh peserta terbaik kategori B (cilik) yang berjaya menempah tempat selepas melalui peringkat saringan yang dinilai teliti oleh panel juri dalaman.

“Bagi kategori A, sepuluh peserta terbaik dipilih daripada 46 penyertaan, manakala bagi kategori B, finalis terpilih daripada 17 penyertaan kesemuanya.“ katanya ketika memberikan ucapan kepada finalis, di Dewan Teratai, hari ini.


YB Nik Bahrum turut berkongsi pengalaman dan teknik syarahan yang baik kepada para peserta pentas akhir.

“Sehebat mana pun gaya persembahan, tetapi jika isi syarahan tidak lengkap atau tidak menepati tema, maka ibarat tiada nyawa dalam syarahan tersebut.

Selain itu, teknik suara sangat penting. Saya nasihatkan para finalis untuk membuat latihan membuka peti suara supaya suara kalian matang apabila tiba hari pertandingan. Jangan lupa juga, kenal pasti potensi diri sendiri supaya dapat mengatasi debaran semasa persembahan akhir nanti,” jelasnya.



Sesi taklimat tersebut turut menyaksikan barisan finalis telah membuat undian bagi menentukan nombor giliran dan tajuk persembahan masing-masing.

Johan pertandingan bagi kategori terbuka akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2000, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing akan menerima RM1500 dan RM1000.

Sementara itu, bagi kategori cilik, johan akan mendapat wang tunai berjumlah RM1000, naib johan (RM500) dan tempat ketiga (RM300).

Pentas akhir PMBI 2025 dijangka menyaksikan pertarungan sihat sesama para pembentang wacana intelektual yang mantap dari segi gaya persembahan dan sarat kandungan bermakna demi membudayakan aspirasi PMBI dalam kalangan anak muda.



Post a Comment

0 Comments