![]() |
YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan |
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM , 7 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited dalam menangani isu ternakan berkeliaran menerusi pemerkasaan Enakmen Pendaftaran Ternakan Ruminan 2024 yang telah diwartakan pada 14 November 2024 menggantikan Enakmen Lembu Kerbau 1958.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, enakmen tersebut digubal bagi memastikan semua ternakan ruminan di Kelantan didaftarkan secara sistematik, sekali gus memperkukuh kawal selia pemilikan, pemindahan dan pengurusan data ternakan di Kelantan.
“Langkah ini amat penting dalam memperkukuh aspek keselamatan makanan, kawalan penyakit, serta mengawal kemasukan ternakan secara haram di kawasan sempadan."
Beliau berkata demikian menerusi satu catatan di media sosial pada Isnin.
Tambah beliau, enakmen itu juga akan membantu merangka dasar penternakan negeri yang lebih tersusun dan berkesan pada masa hadapan.
Beliau juga yakin bahawa pelaksanaan enakmen tersebut dijangka dapat menangani masalah ternakan berkeliaran yang sering menimbulkan risiko kemalangan dan kerosakan harta benda selain meningkatkan tahap profesionalisme dalam sektor penternakan negeri.
Terdahulu YB Dato' Tuan Mohd Saripudin mengadakan perbincangan khas mengenai pelaksanaan kaedah-kaedah di bawah enakmen tersebut bersama timbalannya, YB Dato' Shaari Hussein serta Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, Dr. Yahasmida Yaacob dan beberapa Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN) daripada Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) di bilik mesyuarat Exco, Mabna Kompleks Kota Darulnaim.
0 Comments