ADN Gual Ipoh ambil inisiatif bina jalan baharu hubungkan Kusial ke Kota Harmoni


Oleh: Norzana Razaly

TANAH MERAH, 7 Oktober – Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Ipoh YB Bahari Mohamad Nor mengambil inisiatif membina sendiri laluan baharu sepanjang 1.58 kilometer yang menghubungkan kawasan muara Sungai Kusial dengan jalan bawah Jambatan Guillemard View@Kusial menuju ke Kota Harmoni.

Menurutnya, laluan tersebut dibina bagi membuka akses baharu ke kawasan pelancongan dan pembangunan ekonomi setempat, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk sekitar Gual Ipoh dan Bukit Panau.

“Sebelum ini, tapak jalan itu langsung tidak ada. Tapi sekarang, jika dilihat melalui peta satelit, sudah kelihatan satu garisan putih halus. Itulah laluan yang saya usahakan sendiri dengan kerja-kerja penambahan batu dan pembinaan asas jalan,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.


YB Bahari turut memaklumkan bahawa laluan tersebut hanya memerlukan satu jambatan kecil untuk disambungkan terus ke Jambatan Guillemard, ikon warisan bersejarah yang menjadi kebanggaan negeri Kelantan.

“Jalan ini sangat penting untuk menghidupkan semula potensi pelancongan di sekitar Guillemard dan Kota Harmoni. Kawasan ini boleh menjadi pusat riadah persisir sungai, sepertimana projek pembangunan di Lembah Sireh.

"Lagipun di Kota Harmoni kini sedang giat dijalankan termasuk pembinaan pasar raya Econsave,” katanya.


Tambahnya, projek itu tidak membabitkan tanah awam melainkan tanah kerajaan negeri dan rizab sungai sahaja.

Menyentuh tentang kos pembinaan, beliau memaklumkan bahawa pihaknya melaksanakan projek berkenaan secara berperingkat menggunakan dana sendiri dengan anggaran kos keseluruhan sekitar RM50,000.

Daripada jumlah itu, RM30,000 digunakan bagi membeli batu dan menyewa jentera, manakala selebihnya dibiayai melalui peruntukan Rancangan Kecil Pembangunan (RKP).

“Kos tambahan pula saya peroleh melalui sumbangan rakan-rakan, termasuk bantuan jentera dan bahan binaan seperti pembentung. Semua dilakukan demi manfaat bersama rakyat setempat,” katanya.


Beliau yakin projek tersebut akan menjadi pemangkin kepada limpahan ekonomi baharu di kawasan tersebut serta membantu mengurangkan kesesakan trafik di persimpangan Lampu Isyarat Batu Hitam, yang sering sesak terutama pada musim perayaan.

“Selain membuka ruang baharu kepada aktiviti pelancongan dan perniagaan, jalan ini juga akan menjadi laluan alternatif yang menghubungkan DUN Bukit Panau dengan DUN Gual Ipoh,” ujarnya.



Post a Comment

0 Comments