Festival makanan, busana tradisional Kelantan meriah TMM 2026

SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Festival Makanan Kelantan dan Pameran Busana Tradisional Kelantan akan diadakan di Kuala Lumpur bagi memeriahkan sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Program terbabit dijangka diadakan selepas sambutan Aidilfitri tahun depan bagi memperkenalkan pelbagai program berteraskan budaya, pelancongan dan warisan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, Kelantan mengenal pasti beberapa program termasuk festival makanan dan pameran busana tradisional bagi memperkenalkan produk pelancongan ke peringkat nasional.

"Festival makanan berkenaan akan mengetengahkan keunikan cita rasa negeri seperti nasi dagang, budu, kerabu dan pelbagai juadah tradisional yang menjadi identiti negeri,” katanya selepas merasmikan Majlis Buffet Bekwoh 2.0 Holiday Villa, Wakaf Che Yeh semalam. 

Beliau berkata, pameran busana pula akan menampilkan hasil seni tekstil seperti songket dan kelingkan serta pakaian tradisional masyarakat Kelantan yang sarat dengan nilai budaya tempatan.

Kata beliau kehalusan seni dan budaya negeri melalui busana, songket dan kelingkan merupakan kekayaan warisan yang wajar diketengahkan di pentas kebangsaan.

Bagaimanapun katanya, lokasi program berkenaan sedang dipertimbangkan, sama ada di Central Market atau Padang Merdeka Kuala Lumpur, dijangka dianjur sekitar Mei atau Jun 2026.

“Selain memperkenalkan keunikan produk budaya negeri, penyertaan tersebut juga akan membantu menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, program berkenaan turut dijangka memberi impak ekonomi kepada usahawan tempatan dan sektor pelancongan melalui promosi berterusan di peringkat nasional.

Post a Comment

0 Comments