Kelantan-UNHAS perkukuh hubungan pendidikan, pelancongan


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA DARULNAIM, 19 Oktober – Dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan dan pelancongan, Kerajaan Negeri Kelantan mengadakan kunjungan rasmi ke Universiti Hasanuddin (UNHAS), Makassar.

Institusi tersebut ialah pusat pengajian tinggi terkemuka di Indonesia.

Delegasi kerajaan negeri diketuai oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud disertai oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md serta wakil dari Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN).


Menteri Besar berkata, kunjungan tersebut bertujuan meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua wilayah termasuk potensi kemasukan pelajar dari Kelantan ke Fakulti Antarabangsa UNHAS dalam bidang-bidang berimpak tinggi dan bernilai pasaran global.

"Turut dibincangkan dalam kunjungan hormat ini adalah inisiatif pertukaran pelajar, perkongsian kepakaran akademik, serta kerjasama penyelidikan antara institusi pendidikan di Kelantan dan UNHAS," katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Jumaat.

Selain aspek pendidikan, delegasi turut membincangkan peluang kerjasama dalam bidang pelancongan dan pertukaran budaya antara Makassar dan Kelantan.


"Usaha ini dilihat sebagai langkah memperkukuh jaringan serantau serta menggalakkan hubungan rakyat dengan rakyat antara dua wilayah bersejarah ini," ujarnya.

Delegasi Kerajaan Negeri turut menekankan bahawa inisiatif berkenaan sejajar dengan dasar pentadbiran Negeri Kelantan berteraskan "Penghayatan Membangun Bersama Islam" yang memfokus pembangunan berasaskan ilmu, kesejahteraan rakyat serta pengukuhan nilai budaya dan warisan.

Kunjungan rasmi itu juga dijangka membuka lebih banyak ruang kerjasama dan jaringan strategik antara Kelantan dan Majasar khususnya dalam memperkasa sektor pendidikan dan pelancongan.

Sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam mengangkat martabat ilmu dan memperkasa sektor pendidikan untuk generasi masa depan serta sektor pelancongan negeri ini.



Post a Comment

0 Comments