Enam sekolah YIK raih pingat di Karnival STEM Kebangsaan 2025


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Page FB YIK

KOTA BHARU, 19 Oktober 2025 – Enam sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) meraih pingat di Karnival STEM Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 13 hingga 14 Oktober 2025.

Sehubungan itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat menyampaikan ucapan tahniah kepada YIK dan para pelajar terbabit atas kejayaan itu.

Menurutnya, kejayaan itu amat cemerlang dengan rekod penyertaan 45 sekolah dari seluruh negeri Kelantan.

Sekolah yang terlibat ialah 29 sekolah menengah dan 10 sekolah rendah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan 6 sekolah YIK.



Beliau menyifatkan karnival tersebut menjadi ruang kepada pelajar memperlihatkan kebolehan mereka menghasilkan produk inovatif berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Syabas dan tahniah kepada Yayasan Islam Kelantan atas kejayaan sekolah-sekolah di bawah pengelolaan ini," katanya melalui satu hantaran di media sosial, pada Khamis.

Antara sekolah yang meraih pingat emas ialah Maahad Sains Tok Guru dengan projek TNC Acne Serum (Kategori Menengah Sains) dan Maahad Muhammadi Gua Musang dengan projek Vape Detector (Kategori Menengah Teknologi).



Bagi pingat perak, SMUA Al Kauthar SABK merangkulnya melalui inovasi Tong Sampah Automatik manakala SMU (A) Diniah, Kg Bongor (Rainergy Roof System) dan SMUA Sullamiah Bunut Payong (Safety Locker).

Sementara itu, Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin Tumpat membawa pulang pingat gangsa melalui projek Ampaian Automatik (Kategori Menengah Teknologi).

Menurut laman rasmi YIK, kejayaan itu membuktikan bahawa sekolah-sekolah YIK bukan sahaja menekankan pendidikan agama dan sahsiah, malah turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran abad ke-21 seperti inovasi, kreativiti dan pemikiran kritikal, seterusnya menjadi inspirasi kepada pelajar lain dalam bidang STEM.



Post a Comment

0 Comments