Kelantan–Maghribi perluas kerjasama pendidikan Islam melalui ICESCO


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 29 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan memperluaskan jaringan pendidikan Islam di peringkat antarabangsa menerusi kunjungan hormat ke Pejabat Islamic World Educational, Scientific and Cultural Organisation (ICESCO) yang berpusat di Rabat, Maghribi pada 24 Oktober lalu.

Menurut Exco Pembangunan Insan, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud, ICESCO merupakan organisasi antarabangsa yang menyelaras hal ehwal pendidikan, sains, kebudayaan dan komunikasi di dunia Islam.

Dalam pertemuan tersebut, delegasi Kelantan diberi taklimat mengenai Centre of Arabic for Non-Arabic Speakers yang dikendalikan oleh ICESCO, selain membincangkan potensi kerjasama latihan bahasa Arab untuk bukan penutur asli.


“Perbincangan ini membuka ruang penting dalam memperkukuh penguasaan bahasa Arab serta mengukuhkan jaringan pendidikan Islam antara Kelantan dan institusi antarabangsa,” katanya.

Delegasi itu turut dibawa melawat Pusat Pameran dan Muzium Sirah An-Nabawiyyah yang menampilkan sejarah serta perjalanan kehidupan Rasulullah SAW secara interaktif.

Tambahnya, lawatan tersebut sangat bermakna kerana memberikan banyak ilmu dan thaqafah baharu yang boleh dimanfaatkan untuk agenda pembangunan hal ehwal Islam di Kelantan.



“Sesi taklimat serta lawatan pameran dan muzium ini memberikan banyak ilmu dan thaqafah baharu kepada kami. Ia sangat membantu dalam usaha pembangunan hal ehwal Islam, khususnya berkait dengan penubuhan Pusat Mushaf yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan,” ujarnya.



Post a Comment

0 Comments