Kelantan tegas pertahankan hak REE: “Jangan ulangi sejarah petroleum” - Dato’ Dr. Fadzli

YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Timbalan Menteri Besar Kelantan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 29 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan pendirian dalam mempertahankan kedaulatan dan hak negeri terhadap sumber Unsur Nadir Bumi Tidak Radioaktif (NREE) yang terletak sepenuhnya di daratan negeri itu, susulan perjanjian dagang Malaysia–Amerika Syarikat yang ditandatangani semasa lawatan Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur pada 26 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata perjanjian tersebut menimbulkan persoalan besar terhadap masa depan sektor mineral kritikal negara, khususnya REE, yang mempunyai nilai strategik dan ekonomi tinggi kepada negeri-negeri pengeluar seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kelantan memiliki deposit NREE kedua terbesar di Malaysia selepas Terengganu, dengan nilai mencecah ratusan bilion ringgit. Ia sumber di daratan yang dijamin haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan — hak mutlak negeri dan rakyat Kelantan,” katanya.

Menurutnya, berbeza dengan petroleum yang berada di dasar laut dan sering dikaitkan dengan “peraturan tiga batu nautika”, REE tidak tertakluk kepada peraturan tersebut.

"Oleh itu, hak terhadap hasil bumi tersebut tidak boleh dinafikan kepada kerajaan negeri.

"Dalam kes petroleum, kita telah kehilangan hak terhadap royalti walaupun perjanjiannya jelas. Kita tidak akan membenarkan REE menjadi ‘petroleum kedua’. Negeri ini tidak boleh lagi sekadar menjadi penonton kepada kekayaan sendiri,” tegasnya.

Dato' Dr. Fadzli juga menegaskan bahawa kerajaan negeri menyambut baik pelaburan luar, namun dengan syarat pelabur menghormati hak dan kedaulatan negeri.

Beliau menolak sebarang bentuk pelombongan yang hanya mengeksport bahan mentah ke luar negara tanpa pemprosesan di dalam negeri.

“Dasar kita jelas. REE mesti diproses, kalau tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya semaksimum mungkin di Kelantan. Kita mahu nilai tambahnya kekal di sini. Apabila diproses di sini, industri huluan dan hiliran akan berkembang, peluang pekerjaan dan latihan kemahiran tinggi terbuka untuk anak muda kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri kini sedang mencari rakan pelabur yang adil serta kaedah kerjasama terbaik bagi menjamin keuntungan maksimum untuk rakyat.

“Kita tidak mahu pelabur yang hanya mengaut hasil dan meninggalkan kerak dan sisa. Ini bukan soal politik, ini soal kedaulatan ekonomi negeri,” jelasnya.

Mengulas perjanjian Malaysia–Amerika Syarikat yang menetapkan tiada sekatan eksport atau kuota terhadap REE ke Amerika, beliau menyifatkan perkara itu sebagai isu kedaulatan ekonomi yang perlu diperjelaskan segera oleh kerajaan Persekutuan.

“Bagaimana jika Kelantan mahu menapis pelabur atau mengehadkan eksport demi menjamin nilai tambah tempatan? Adakah langkah itu dianggap melanggar komitmen antarabangsa? Adakah negeri masih bebas menentukan dasar sendiri, atau kini semuanya terikat kepada janji yang dibuat kerajaan Persekutuan?” soalnya.

Beliau turut menzahirkan kekesalan kerana negeri-negeri pengeluar tidak dirunding sebelum perjanjian tersebut dimeterai.

“Perjanjian bernilai berbilion ringgit yang menyentuh hasil bumi negeri tidak sepatutnya dibuat tanpa pandangan kerajaan negeri. Ini menyimpang daripada semangat federalisme dan menafikan hak negeri yang dijamin dalam Perlembagaan,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru kerajaan Persekutuan membentangkan isi penuh perjanjian Malaysia–Amerika Syarikat di Parlimen serta Majlis Tanah Negara bagi memastikan ketelusan dan semangat kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dipertahankan.

"Kami mohon rundingan khas bersama semua negeri pengeluar sebelum sebarang dasar atau pemberian lesen dilaksanakan. Pelaburan mesti disertai rasa hormat kepada kedaulatan negeri, bukan menyerahkan hak kepada orang lain atas nama diplomasi,” tegasnya.

Beliau juga menegaskan bahawa Kelantan akan mempertahankan hak terhadap sumber negeri dengan hujah dan prinsip, sambil menzahirkan keyakinan bahawa rakyat negeri itu akan berdiri bersama kerajaan negeri dalam memperjuangkan kepentingan mereka.

“REE adalah asas kepada teknologi masa depan iaitu tenaga hijau, pertahanan negara dan pembangunan industri. Jika hala tujunya ditentukan oleh perjanjian dengan kuasa asing, masa depan negara tidak lagi di tangan kita. Kami akan mempertahankan hak ini dengan tegas dan berprinsip,” katanya mengakhiri kenyataan.

Post a Comment

0 Comments