Persembahan SMACH WO memukau penonton


Oleh: Norzana Razaly

Dalam dunia muzik orkestra sekolah berasrama penuh (SBP), nama SMACH Wind Orchestra (SMACH WO) sudah menjadi sebutan. Setiap persembahan mereka lahir daripada roh dan jiwa muzik yang mendalam bukan semata-mata alunan nota. Itulah ciri istimewa persembahan memukau yang sentiasa dinanti-nanti dan dikenang oleh penonton mahupun barisan juri profesional.

Bagi penggemar muzik wind orchestra, persembahan SMACH WO sering digambarkan sebagai sebuah “masterpiece” yang sarat emosi, penghayatan tinggi dan hampir sempurna. Setiap irama yang mereka dendangkan meninggalkan kesan mendalam, seakan-akan membawa penonton menyelami kisah dan makna di sebalik karya muzik tersebut.

Menjejak persada antarabangsa
Tahun 2025 mencatatkan pencapaian gemilang apabila SMACH WO berjaya menempatkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. Mereka bukan sahaja mengharumkan SMACH, bahkan berdiri sebaris dengan pasukan hebat dari Kemboja, Vietnam, Filipina dan Thailand.

Dalam Malaysia International Wind Festival yang berlangsung di Universiti Multimedia pada Julai 2025, SMACH WO telah meraih Silver Award suatu pengiktirafan berprestij yang menandakan langkah besar pasukan ini ke arena global.

Kepimpinan berwibawa
Di sebalik kejayaan ini, terukir dedikasi padu Penasihat Utama, Cikgu Nor Azdilah Ramli bersama konduktor muda berbakat besar Muhammad Dzubair Mohd Daud. Bersama kekuatan 75 ahli, gabungan kepimpinan yang mantap dan semangat juang tanpa mengenal penat telah menjadikan SMACH WO sebuah pasukan orkestra yang berprestij di peringkat kebangsaan dan mewarnai pentas antarabangsa.

Kemenangan berganda di SBP Wind Orchestra Festival
Ogos 2025 melakar detik bersejarah apabila keunggulan SMACH WO menyerlah dalam Festival Wind Orchestra SBP ke-23 anjuran Sekolah Menengah Sains Selangor. Pertandingan ini menghimpunkan 48 buah SBP seluruh Malaysia di Universiti Multimedia.



Membawakan karya “Legend of the Ancient Hero”, mereka memukau juri dan penonton hingga alunannya tular di media sosial. Hasilnya, SMACH WO berjaya membawa pulang Gold Award, tempat ketiga keseluruhan, manakala konduktor mereka, Muhammad Dzubair Mohd Daud dinobatkan sebagai Konduktor Terbaik.

Ikon muzik di hati masyarakat
Kejayaan demi kejayaan telah menjadikan nama SMACH WO dikenali dalam kalangan warga SBP sekali gus semakin melekat di hati masyarakat. Persembahan mereka kini dinanti, tidak kira di pentas pertandingan mahupun acara rasmi kenegaraan.

Terbaharu, SMACH WO menerima penghormatan tertinggi apabila diundang mempersembahkan persembahan medley lagu-lagu istimewa di hadapan Sultan Kelantan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dalam Majlis Santapan Malam sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-56 di Dewan Dato’ Bentara Setia, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan pada 29 September 2025.


Muzik bahasa sejagat
Daripada sebuah pasukan pelajar beruniform hingga menjadi duta seni muzik di peringkat antarabangsa, perjalanan SMACH WO adalah kisah tentang tekad, disiplin, dan kesungguhan sehingga berjaya meletakkan Malaysia di peta dunia wind orchestra.

Dengan semangat yang tidak pernah luntur, SMACH WO berazam untuk terus melangkah lebih jauh. Bagi mereka, muzik ialah bahasa sejagat yang menyatukan jiwa dan SMACH WO bersedia berdiri sebagai simbol keunggulan seni muzik wind orchestra dalam dan luar negara.

Post a Comment

0 Comments