KOTA BHARU, 2 Okt – PAS Kelantan menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus menzahirkan solidariti bersama delegasi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla, termasuk berdoa demi keselamatan mereka.
Pesuruhjaya PAS Kelantan, YB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob dalam kenyataan medianya menegaskan bahawa penahanan aktivis antarabangsa termasuk 12 rakyat Malaysia oleh rejim Zionis adalah tindakan zalim yang jelas mencabuli undang-undang antarabangsa serta prinsip hak asasi manusia.
“Tindakan ini bukan sahaja menafikan usaha kemanusiaan, bahkan memperlihatkan wajah sebenar kezaliman Israel yang sekian lama menindas rakyat Palestin,” katanya.
Menurutnya lagi, rakyat Malaysia berdiri teguh bersama perjuangan membebaskan Palestin dan menyeru agar kesatuan negara-negara Islam digembleng untuk memberi tekanan kuat kepada Israel, bagi membebaskan semua yang ditahan serta memastikan misi flotilla tersebut dapat diteruskan.
Sehubungan itu, PAS Kelantan turut mengajak seluruh umat Islam di negara ini melaksanakan doa berterusan dan solat hajat di kawasan masing-masing, memohon pertolongan Allah SWT agar para delegasi Global Sumud Flotilla sentiasa dalam lindungan-Nya serta rakyat Palestin terus diberi kekuatan sehingga mencapai kemenangan.
0 Comments