Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 6 Oktober — Pesta Flora Kelantan 2025 menyerlahkan kemegahan biodiversiti negeri Kelantan apabila lebih 700 spesies bunga dan tanaman hiasan dipamer dan dijual sepanjang penganjuran acara itu yang berlangsung penuh warna-warni selama empat hari bermula 2 hingga 5 Oktober.
Lebih 370 spesies orkid daripada jenis hibrid moden hingga spesies liar bernilai tinggi menjadi tumpuan utama para pengunjung yang membanjiri Taman Perbandaran Tengku Anis untuk melihat sendiri koleksi eksotik yang dibawa khas oleh pengusaha, pengumpul dan penggemar florikultur dari seluruh negara.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata penganjuran pesta flora bukan sekadar wadah pameran tetapi platform strategik yang menghubungkan kerajaan, komuniti, usahawantani dan institusi pendidikan dalam memperkasa kesedaran terhadap kelestarian alam.
![]() |
YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan |
“Pesta ini menyatukan minat dan kecintaan terhadap flora sekali gus membuka peluang ekonomi kepada pengusaha herba, landskap dan tanaman hiasan untuk menembusi pasaran lebih luas,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Pesta Flora Kelantan 2025, di sini semalam.
Beliau menegaskan, industri florikultur kini berkembang sebagai cabang penting dalam sektor agromakanan, dengan potensi besar untuk diteroka dalam bidang pelancongan, perubatan tradisional, aromaterapi serta pembangunan taman bandar dan kawasan rekreasi yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
“Kelantan bertuah dianugerahkan flora yang pelbagai daripada spesies hutan simpan hingga tanaman komersial namun kekayaan ini hanya akan kekal jika kita pelihara bersama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar bukan sekadar menjadi pemerhati tetapi turut tampil sebagai penjaga biodiversiti, sama ada melalui aktiviti penanaman, penyelidikan atau sokongan terhadap produk tempatan berasaskan flora.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui portfolio berkaitan terus menyediakan insentif latihan, ruang pasaran dan promosi agro-pelancongan bagi mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai hab florikultur pantai timur.
“Matlamat kita ialah membangunkan negeri atas dasar pertanian lestari, ekonomi hijau dan nilai Islam, supaya manfaatnya dirasai bukan hanya oleh manusia, tetapi seluruh ekosistem,” jelasnya.
Majlis penutupan turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para pempamer, serta pengumuman pemenang cabutan bertuah bagi menghargai sokongan pengunjung.
Turut hadir, Timbalan Exco Pertanian YB Dato' Shaari Hussein; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, Norbahani Zakaria; Pengarah FAMA Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim; serta Pengarah PLANMalaysia Negeri Kelantan, TPr Mazillah Azleen Mat Nor.
0 Comments