Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 16 Oktober - Program Big Hero anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) merupakan program ilmu, khusus untuk kaum lelaki dalam usaha melahirkan ketua keluarga yang bertanggungjawab.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim berkata, lelaki sebagai ketua keluarga bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keluarga.
Maka katanya, lelaki hendaklah mencari ilmu untuk menguruskan hal yang berkaitan keluarga.
"Sebab itu kerajaan ambil tanggungjawab dengan menganjurkan program sebegini.
Kita undang ketua-ketua keluarga untuk program big hero ini untuk memastikan ketua keluarga mempunyai kaedah untuk membawa keluarga kearah jalan yang betul, seterusnya membentuk keluarga mawaddah.
"Kita mahu ketua-ketua keluarga yang berada dalam program ini dapat menambah nilai kepimpinan sebagai ketua keluarga," katanya ketika berucap merasmikan Program Big Hero 2025 di Dewan Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji, hari ini.
Untuk rekod, program Big Hero diperkenalkan sejak 2014 di bawah kelolaan U-KEKWA dengan nama Kursus Kecemerlangan Kerjaya dan Keluarga khusus untuk kaum lelaki selaku ketua keluarga dan organisasi.
Program berkenaan telah beri nafas baharu dengan beberapa penambahbaikan.
Program Big Hero juga diadakan bersama ketua keluarga yang dalam proses pemulihan dari pusat tahanan sebelum kembali kepada keluarga.
Tambah Dato' Rohani, Kerajaan Negeri Kelantan juga telah menganjurkan pelbagai program untuk kesejahteraan keluarga di negeri ini.
"Selain program Big Hero, kerajaan negeri turut menganjurkan pelbagai program lain untuk kesejahteraan keluarga di negeri ini.
"Antaranya Sambutan Hari Keluarga Mawaddah, Sambutan Hari Suami Isteri, Sambutan Hari Ibu Bapa yang khusus kepada golongan lelaki samada suami atau ayah.
"Ringkasnya, kerajaan negeri telah dan akan sentiasa berfikir, merancang dan melaksanakan bermacam-macam program dan bantuan untuk melihat semua rakyat Kelantan bahagia di dunia ini dan selamat di akhirat kelak," ujarnya.
Hadir sama, timbalan nya, YB Nor Asilah Mohamed diiringi Pengarah U-KeKWa Ilvira Mohd Dasuki.
0 Comments