Kelantan gesa tindakan tegas bendung pengaruh video ganas, pornografi terhadap remaja

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 16 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan memberi amaran bahawa pendedahan tidak terkawal terhadap permainan video berunsur ganas dan bahan pornografi semakin menjadi pencetus utama gejala sosial dalam kalangan remaja, termasuk kes-kes tidak bermoral di kawasan sekolah.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menegaskan bahawa fenomena berkenaan telah memasuki tahap membimbangkan dan memerlukan tindakan segera di semua peringkat iaitu keluarga, pendidikan, masyarakat serta penguatkuasaan siber.

“Institusi keluarga mesti menjadi benteng pertama. Ibu bapa tidak boleh membiarkan telefon anak-anak dipenuhi permainan ganas atau aplikasi yang membuka ruang kepada bahan lucah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengingatkan ibu bapa agar lebih peka terhadap perubahan emosi dan tingkah laku anak-anak yang mungkin dipengaruhi bahan digital berbahaya.

“Sebarang kepelikan perlulah segera diperbetulkan melalui pendekatan kekeluargaan yang prihatin. Kawalan awal boleh menghalang kejadian di luar jangkaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan Persekutuan, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), memperketatkan kawalan kandungan siber, termasuk memperbaharui SOP agar responsif terhadap cabaran baharu seperti kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Permainan ganas dan pornografi dalam talian mesti disekat secara agresif. Jangan tunggu sehingga kes kronik berlaku baru mahu bertindak,” tegasnya.

Dalam sektor pendidikan, beliau mencadangkan agar sistem kembali memberi penekanan kepada asas Pendidikan Islam sebagai teras pembentukan sahsiah remaja. Beliau turut menyaran supaya Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003  yang membenarkan hukuman rotan berasaskan garis panduan dikuatkuasakan semula sebagai langkah disiplin.

“Rotan oleh pihak berautoriti bukan penderaan, tetapi satu bentuk pendidikan. Remaja perlu faham bahawa setiap kesalahan ada hukumannya,” katanya.

Beliau turut menyeru agar agensi agama dan pegawai Halaqat memperluas pendekatan dakwah yang menyasarkan golongan remaja, khususnya dalam menyedarkan mereka mengenai bahaya pornografi dan ketagihan permainan ganas.

“Isu ini tidak boleh diserahkan kepada satu pihak sahaja. Ia kian membarah dan hanya boleh disekat melalui tindakan menyeluruh,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments