Oleh: Syamimi Manah
BANGI, 14 Oktober – Mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Muhammad Medina Munawwarahmathuddin Al-Haq Mohamed dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Siswa Kelantan 2025 oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Pengiktirafan tersebut meneruskan siri kecemerlangannya yang sebelum ini juga penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik di Darul Quran JAKIM pada 2022 dan meraih Anugerah Dekan kelas pertama setiap semester di UniSZA.
Mahasiswa itu juga aktif dalam bidang kepimpinan, pernah memegang jawatan Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA, Presiden Majlis Kolej Kediaman, dan Yang Dipertua PERKEMAT Darul Quran JAKIM.
Pada 2024, beliau telah dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Kolej Kediaman atas sumbangan dalam dakwah kampus, kebajikan mahasiswa, dan pembangunan sahsiah melalui kelab dan persatuan.
Anak jati Pasir Tumboh Kubang Kerian tersebut menyatakan rasa syukur kepada kerajaan negeri atas pengiktirafan berkenaan.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif menghargai pencapaian dan pengorbanan mahasiswa. Penghargaaan ini menjadi pemangkin semangat kepada kami untuk terus berbakti kepada negeri tercinta.
“Setiap mahasiswa mempunyai peluang tersendiri, dan pengalaman memimpin di peringkat universiti adalah pemula sebelum melangkah ke arena kepimpinan yang lebih tinggi di negeri dan masyarakat,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud hadir menyampaikan anugerah tersebut di sebuah hotel, di sini, pada Ahad.
Beliau berharap pencapaian Muhammad Medina ini menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus mengekalkan kecemerlangan serta memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negeri Kelantan.
0 Comments