Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 14 Oktober – Suasana meriah dan penuh semangat kekeluargaan menyelubungi Talent Champs Sports Complex, Kajang apabila ratusan anak-anak Kelantan di perantauan berhimpun sempena Karnival Sukan Mahasiswa Kelantan, pada Sabtu.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad berkata, karnival yang menghimpunkan mahasiswa Kelantan dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) itu menjadi wadah memperkukuh ukhuwah, semangat berpasukan dan jati diri sebagai anak jati Kelantan.
Katanya walaupun jauh dari kampung halaman, wajah-wajah anak Kelantan yang hadir jelas membawa identiti dan semangat 'anak Kelate' yang tidak pernah luntur, berpegang teguh pada nilai asal-usul, kuat semangat dan bersedia menyumbang kepada negeri walau di mana mereka berada.
"Teruskan menimba ilmu, menjaga akhlak, dan mengukuhkan hubungan sesama anak Kelantan. Anda semua adalah harapan masa depan negeri Kelantan. Teruskan berusaha dan kekalkan semangat kebersamaan yang ditunjukkan hari ini.
"Tahniah turut diucapkan kepada semua peserta, pemenang serta barisan urus setia atas kejayaan menjayakan karnival ini,"ujar beliau menerusi catatan di media sosial miliknya pada Ahad. Program anjuran Urus Setia Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kelantan (U-BeS) berjalan lancar dengan penyertaan aktif 100 mahasiswa dari pelbagai IPT sekitar Lembah Klang.
Acara sukan yang dipertandingkan dalam karnival tersebut ialah badminton dan futsal. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh YB Zamakhshari dan diringi Timbalan Pengarah U-BeS Mohd Firdaus Mohamed Nawi.
0 Comments