Syarahan PMBI perkukuh kefahaman MBI dalam kalangan generasi muda – YB Nik Bahrum

Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 15 Oktober – Kefahaman dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dalam kalangan generasi muda dapat dihayati secara lebih mendalam melalui program Syarahan Perdana Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) 2025 yang berlangsung di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.

Program tersebut menyediakan platform praktikal kepada peserta untuk menjiwai pengucapan awam sambil mengaplikasi nilai-nilai MBI dalam persembahan syarahan mereka.

Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah menegaskan bahawa pertandingan tersebut menjadi wadah untuk para peserta menghayati dan mendalami intipati dasar MBI yang menjadi asas pentadbiran kerajaan negeri.

"Semangat dan keberanian untuk berdiri di depan khalayak merupakan wadah melatih keberanian generasi muda serta menjiwai nilai asas Membangun Bersama Islam,” ujarnya.

Program syarahan itu mengangkat tema “Penghayatan Membangun Bersama Islam” dan memberi tumpuan kepada lima fokus utama kerajaan negeri iaitu Kelantan Model Pendidikan Rabbani, Tadbir Urus Berkat, Kelantan Negeri Berkebajikan, Pembangunan Ekonomi Mampan, dan Kelantan Model Perpaduan Kaum dan Masyarakat Sejahtera. 

Melalui fokus berkenaan, 20 finalis berpeluang menghayati dan menyampaikan mesej dasar MBI dan strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) secara praktikal dalam persembahan mereka.

Post a Comment

0 Comments