Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 28 Oktober 2025 – Amalan membaca surah al-Fatihah pada permulaan mesyuarat dan disudahi dengan surah al-Asr serta tasbih kafarah dicetuskan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebaik menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1990.
Menurut Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim, amalan itu pada awalnya mengundang kritikan dan dianggap janggal dalam urusan rasmi, namun akhirnya diterima dan diikuti di seluruh peringkat pentadbiran.
"Tuan Guru mahu setiap urusan kerajaan bermula dengan mengingati Allah, kerana pentadbiran bukan sekadar tugas duniawi tetapi amanah akhirat,” katanya ketika sesi Wacana 35 Tahun Membangun Bersama Islam di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Beliau berkata, tahun 1990 menjadi titik perubahan besar apabila PAS menerajui pentadbiran negeri melalui kepimpinan ulama yang membawa visi dan misi berteraskan nilai Islam sebagai asas kepada dasar serta pelan pembangunan.
Antara pembaharuan penting yang diperkenalkan pada zaman pentadbiran Tuan Guru ialah penganjuran Bulan Solat, penetapan waktu bekerja yang dipendekkan pada bulan Ramadan, pemindahan akaun kerajaan ke bank Islam, pengenalan skim pajak gadai Ar-Rahnu, serta penutupan premis perjudian dan penjualan arak, yang menjadi kejutan budaya kepada pegawai kerajaan dan rakyat ketika itu.
Dato’ Dr Zainuddin menegaskan, segala perubahan tersebut memberi cabaran besar pada permulaannya, tetapi ia menjadi asas kepada sistem pentadbiran Islam Kelantan sehingga kini.


0 Comments