Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 28 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh hubungan pembangunan Islam dengan Maghribi melalui lawatan ilmiah dan kunjung hormat ke Kementerian Wakaf Maghribi di Rabat pada 23 Oktober lalu.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, pertemuan dua hala tersebut bertujuan memperluas kerjasama dalam latihan keilmuan ulama serta pembangunan institusi pendidikan Islam di negeri ini.
Menurut beliau, sesi perbincangan itu turut membuka ruang pelaksanaan program kerjasama melibatkan pelajar dan guru pondok Kelantan dengan institusi pengajian Islam di bawah Kementerian Wakaf Maghribi.
“Hubungan ini penting dalam memperkukuh tradisi keilmuan Islam serta meningkatkan kualiti pendidikan agama di Kelantan seiring usaha kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan berteraskan ilmu dan akhlak,” katanya.
Rombongan tersebut turut disambut oleh Duta Besar Malaysia di Maghribi bersama wakil kementerian berkenaan.
Delegasi juga mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Duta Besar serta bertemu pelajar-pelajar Kelantan di Maghribi, yang menyatakan komitmen untuk menyumbang kembali kepada negeri selepas tamat pengajian.
Tambah YB Mohd Asri, sesi kunjungan itu akan menjadi platform kukuh bagi memperluas hubungan dua hala antara Kelantan dan Maghribi demi kepentingan rakyat serta kemajuan pendidikan Islam negeri.
Turut mengiringi beliau ialah Pengarah JAHEAIK, Dr Haji Hasnan Ramli, Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Lokman Abdullah dan Pengerusi Persatuan Guru Pondok Kelantan, Baba Haji Wan Rosli Wan Ibrahim.



0 Comments