UMK galak masyarakat ceburi sukan sunnah

 

Oleh Salmah Mat Husain

BACHOK: Seramai 112 pelumba dari seluruh negara menyertai Kejohanan Sukan Kuda Lasak Piala Universiti Malaysia Kelantan (UMK) 2025 di sini semalam.

Pengerusi kejohanan, Prof Madya Dr Mohd Nazri Muhayiddin berkata, penyertaan tahun ini mencatat jumlah tertinggi sejak tiga tahun penganjurannya.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 65 pelumba berjaya menamatkan saingan peringkat kebangsaan bagi kategori CEN 40 kilometer.

“Ini membuktikan daya ketahanan tinggi peserta serta keupayaan kuda masing-masing.

“Selain kategori utama CEN 40 kilometer, tiga kategori lain turut dipertandingkan iaitu amatur 30 km, VIP/veteran 15 km dan terbuka 15 km,” katanya ketika ditemui pada kejohanan tersebut di Pantai Sri Nipah, Kandis.


Menurutnya juga kebanyakan kuda yang bertanding daripada baka Arab yang terkenal dengan daya tahan tinggi.

Kata beliau setiap pelumba perlu menempuh jarak sejauh 40 kilometer dan pemenang ditentukan berdasar kondisi terbaik kuda dari segi degupan jantung, masa pemulihan dan pernafasan.

Beliau juga berkata, penganjuran kejohanan itu bertujuan menggalakkan masyarakat menceburi sukan berkuda antara sukan sunnah serta memberi manfaat terhadap kesihatan.

“Sukan kuda lasak masih kurang dikenali berbanding acara berkuda lain seperti polo dan lumba kuda, namun kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar serta komuniti setempat,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments