Penyelarasan strategi PMBI muafakat strategik perkukuh tadbir urus negeri

YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 13 Oktober – Langkah Kerajaan Negeri Kelantan menyelaras hala tuju semua portfolio exco menerusi Taklimat Pencapaian Halatuju Portfolio Kerajaan Negeri Kelantan 2024–2028 disifatkan sebagai satu muafakat strategik yang akan mempercepat kejayaan startegi Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, optimis penyelarasan strategi tersebut akan terus mengukuhkan prestasi portfolio di bawah beliau yang kini berada pada landasan pelaksanaan yang tepat hasil kerjasama erat agensi pelaksana.

“Kerjasama erat antara semua agensi terlibat telah menjadi pemacu kepada kejayaan tersebut,” katanya.

Nada yang sama turut dikongsi Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail yang menyifatkan taklimat tersebut sebagai ruang muhasabah menyeluruh bagi menilai pencapaian semasa.

YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan

“Baki tempoh penggal yang ada akan dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri,” ujarnya.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan di media sosial, Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menegaskan bahawa taklimat yang diadakan di Kuala Lumpur itu merupakan “wadah penyatuan hala tuju pentadbiran negeri secara bersepadu.”

“Setiap portfolio perlu bergerak seiring dan selari dengan dasar kerajaan negeri Membangun Bersama Islam (MBI) agar keberhasilan yang dirancang dapat dicapai secara holistik,” katanya.

Menurut beliau, penyelarasan strategi melalui sesi taklimat itu akan memastikan PMBI diterjemah secara operasional menerusi indikator prestasi yang jelas dan terukur di peringkat portfolio masing-masing.

"Melalui pendekatan ini, pentadbiran negeri dijangka menggandakan keberkesanan pelaksanaan program rakyat, selain memastikan setiap usaha pembangunan dijalankan secara tersusun, seragam dan berpaksikan nilai syariah serta kesejahteraan sejagat," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments