Oleh: Asyura Muhamad
KOTA DARULNAIM, 6 November – Pembinaan Empangan Nenggiri dijangka membawa pelbagai faedah dan manfaat strategik kepada negeri Kelantan, sekali gus merancakkan pembangunan ekonomi setempat serta membuka peluang baharu dalam pelbagai sektor.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Dato’ Mejar (B) Md Anizam Rahman berkata, kawasan sekitar empangan tersebut berpotensi besar dibangunkan sebagai destinasi eko-pelancongan berikutan prasarana dan infrastruktur yang telah dibangunkan di kawasan tersebut.
“Empangan itu turut memberikan kelebihan melalui penjanaan tenaga solar menerusi projek solar terapung yang akan dilaksanakan di permukaan tasik empangan sebaik ia siap sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2025, hari ini.
Menurutnya, kewujudan empangan itu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan dan akan mewujudkan kelompok komuniti yang mengoperasikan kawasan Nenggiri.
"Ini secara tidak langsung mengaktifkan kitaran ekonomi baharu dan membuka ruang kepada pertumbuhan sektor-sektor ekonomi yang lebih berdaya saing," jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa perkembangan ekonomi berasaskan tasik seperti penternakan dan pelaksanaan zon ekonomi akuakultur turut berpotensi digerakkan, sekali gus dapat meningkatkan sumber pendapatan penduduk setempat.
Tambahnya, sistem pengairan di kawasan berkenaan juga akan dipertingkatkan secara lebih sistematik dan manfaatnya boleh dikembangkan kepada sektor pertanian serta penternakan melalui integrasi kemudahan bekalan air yang lebih efisien.

0 Comments