Oleh: Asri Hamat
BACHOK, 8 November — Kerajaan Negeri Kelantan berhasrat menjadikan Pesta Baruh sebagai acara tahunan yang dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri bermula tahun hadapan.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Kamarudin Md Nor, berkata Pesta Baruh berpotensi besar untuk dikembangkan sebagai produk pelancongan baharu yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.
Beliau berkata, sambutan masyarakat setempat terhadap penganjuran program berkenaan amat menggalakkan dan mampu menjadi daya tarikan pelancongan berasaskan budaya dan kehidupan kampung tradisional.
"Kita akan jadikan Pesta Baruh sebagai acara tetap dalam kalendar pelancongan negeri pada tahun depan dan tahun-tahun mendatang.
"Dengan sokongan masyarakat serta penyertaan pengusaha pelancongan, agensi pelancongan dan pengusaha hotel, pesta ini berupaya meletakkan nama Jelawat, khususnya Kuchelong, di peta pelancongan negara dan antarabangsa."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Baruh Jelawat 2025,di kampung Kuchelong Jelawat, hari ini.
Katanya lagi, Pesta Baruh yang menonjolkan cara hidup masyarakat kampung yang penuh nilai tradisional seperti aktiviti menggagau ikan, menangkap itik, bermain bola dalam sawah, tarik tali dalam sawah, perlumbaan jentera pembajak dan banyak lagi mampu menarik minat pelancong domestik serta antarabangsa.
Datuk Kamarudin turut menyatakan, program tersebut boleh dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V untuk dijadikan acara rasmi menggantikan pesta air sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda.
"Kebiasaannya, sempena hari keputeraan baginda, kita adakan Pesta Air. Tahun ini, program tersebut digantikan dengan perarakan kereta berhias yang memerlukan tenaga dan kos tinggi. Acara seperti Pesta Baruh ini boleh dianjurkan secara berselang seli dengan acara kereta berhias sebagai alternatif menarik,” jelasnya.
Menurutnya, acara seumpama itu mampu memeriahkan sektor pelancongan negeri dan membantu meningkatkan sumber pendapatan masyarakat setempat.
“Program ini mengimbau nostalgia kehidupan kampung dahulu dan mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan penduduk,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Zamri Mat Nawang, Ahli Dewan Negara (ADR) Senator Dr Wan Martina Wan Yusof, Sebahagian Ahli Dewan Negeri (ADN), Setiausaha Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam Mohd Kairul Adzhar Mohd Adnan dan Penolong Ketua Jajahan Bachok Khairul Izwan Dato' Ahmad Robert.




0 Comments