Felcra bekal jentera angkut sawit lebihi harga pasaran

A Rahman Harun

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap pembelian jentera roda tiga bagi mengangkut buah sawit di ladang Felcra yang diserah kepada Felcra Niaga dengan kos melebihi RM40,000 seunit. 

Sedangkan kos pasaran difahamkan cuma RM6,000 hingga RM12,000 seunit.

Jentera Ladang 3-Roda diperkenalkan Felcra Berhad bertujuan meningkatkan produktiviti serta mengurangkan tenaga kerja asing dalam sektor perladangan khususnya sawit.

Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berkata, kerajaan perlu meneliti semula nilai jualan kenderaan pengangkut buah sawit itu yang dilihat terlalu tinggi berbanding penilaian sebenar.

Katanya, jentera DS-3 Wheeler mempunyai tiga model iaitu DS Blackbull, DS Scorpion dan DS Panther dilancar bagi mengurangkan kos upah pekerja sehingga 25 peratus pada kadar semasa.

Beliau berkata demikian pada perbahasan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat semalam.

Dalam perbahasan itu Salamiah turut membangkitkan isu pengagihan tanah kepada peserta Felcra khususnya penduduk luar bandar yang berkelayakan untuk mengusahakan tanaman komoditi seperti kelapa sawit.

Menurutnya, sejak ditubuhkan lebih 50 tahun agensi itu membangunkan ratusan ribu hektar bagi aktiviti perladangan dan manfaat diterima penduduk luar bandar sebagai sumber pendapatan.

Selain itu beliau juga meminta penjelasan kerajaan mengenai pelantikan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) di peringkat negeri yang dilakukan berasaskan merit serta kepakaran bukan kepentingan politik.

"Ingin penjelasan sejauh mana proses agihan pembangunan tanah oleh Felcra yang dilaksanakan secara telus dan adil kepada peserta luar bandar yang benar-benar layak, bukan kepada kroni sahaja. 


Post a Comment

0 Comments