Program GENTERA, ADN Belia lahirkan pemimpin muda Kelantan


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 12 November – Program Generasi Sejahtera Kelantan (GENTERA) dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia Kelantan terus menjadi wadah penting Kerajaan Negeri dalam melahirkan barisan pemimpin muda berwibawa yang mampu menyumbang kepada pengukuhan dasar negeri serta pembangunan masyarakat di peringkat akar umbi.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Mohamad berkata, inisiatif pembangunan kepimpinan muda tersebut digerakkan melalui Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) dengan kerjasama Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) sebagai platform utama melahirkan pelapis kepimpinan negeri.

"Graduan GENTERA dan ADN Belia kini dikenal pasti sebagai antara produk kepimpinan muda negeri yang dimanfaatkan semula melalui pelbagai program di bawah KFLI, berasaskan dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam(PMBI), Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK) dan Pelan Kelantan Sejahtera 2033,” katanya ketika menjawab soalan ADN Gaal YB Mohd Rodzi Jaafar pada hari terakhir Persidangan Dewan Negeri Kelantan, hari ini.

Beliau berkata, pelan induk tersebut menstrukturkan pembangunan bakat kepimpinan belia secara berlapis dan berfokus supaya kesinambungan pembangunan dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan di lapangan.

Menurutnya, bagi sesi 2025/2026, sebanyak 57 ADN Belia telah dilantik, terdiri daripada 45 wakil DUN, 1 wakil Majlis Gabungan Belia Kelantan (MGBK), seorang wakil Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA), seorang wakil Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK), empat wakil IPT dan lima orang lantikan khas exco.

"Daripada jumlah itu, 38 lelaki dan 19 perempuan, menunjukkan keseimbangan penyertaan kepimpinan muda di negeri ini " jelasnya.

Tambah YB Zamakhshari, setiap kluster ADN Belia telah mengadakan mesyuarat dan sesi konsultasi bersama agensi berkaitan bagi membangunkan usul serta cadangan polisi yang akan dibentangkan pada Persidangan ADN Belia Kelantan pertama, dijadual berlangsung pada 17 dan 18 November ini.

"Selain itu, ADN Belia diwajibkan melaksanakan projek komuniti berimpak (RFP) di kawasan masing-masing " ujarnya.

Sementara itu, bagi graduan GENTERA, kebanyakan mereka kini turut dilantik sebagai ADN Belia, memegang peranan penting dalam pelbagai sektor serta menjadi pemimpin mahasiswa dan pempengaruh anak muda di media sosial.

Graduan berkenaan juga berperanan sebagai pendokong dan fasilitator latihan kepimpinan anjuran KFLI bagi memastikan kesinambungan pelaburan pembangunan belia negeri berlangsung secara sistematik dan berterusan.

YB Zamakhshari menegaskan, hasrat kerajaan negeri ialah memastikan pelaburan latihan dan kepimpinan yang telah dilaksanakan tidak terhenti begitu sahaja, sebaliknya diperluas melalui pembangunan belia yang bersepadu, strategik dan berterusan bagi melahirkan pelapis berkualiti untuk kerajaan negeri dan DUN.

Post a Comment

0 Comments