Oleh: Che Maziah Mat
KOTA BHARU, 12 November – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited menilai keberkesanan pelbagai inisiatif pembangunan wanita dan keluarga melalui beberapa indikator utama yang merangkumi aspek input, output, outcome dan impak bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, penilaian ini amat penting bagi memastikan dasar dan program yang dilaksanakan mencapai objektif pengupayaan wanita agar dapat memperkukuh institusi keluarga di negeri ini.
“Kerajaan negeri menilai keberkesanan setiap program berdasarkan beberapa indikator utama seperti tahap penyertaan, peningkatan taraf sosioekonomi, kesejahteraan keluarga, keberkesanan dasar, tahap kesedaran serta pencapaian yang selaras dengan dasar negeri.
“Kita juga menilai peningkatan taraf sosioekonomi wanita melalui peningkatan pendapatan, pertambahan bilangan usahawan wanita yang berjaya, serta penglibatan mereka dalam sektor ekonomi formal dan tidak formal,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Bunga, YB Mohd Almidi Jaafar, pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 2025, hari ini.
Tambahnya lagi, tahap penyertaan wanita dalam pelbagai latihan, kursus, serta program keusahawanan, kepimpinan dan kebajikan keluarga menjadi antara aspek utama yang mencerminkan kejayaan pelaksanaan inisiatif tersebut.
Bagaimanapun, kesejahteraan dan keharmonian keluarga turut dijadikan ukuran penting dalam penilaian, termasuk kadar penurunan kes perceraian dan keganasan rumah tangga, peningkatan kesedaran terhadap tanggungjawab keibubapaan serta pengukuhan nilai kekeluargaan Islam dalam masyarakat.
“Penilaian terhadap keberkesanan dasar dan program juga dibuat melalui laporan pemantauan serta maklum balas daripada peserta program oleh agensi pelaksana seperti Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan (UKEKWA),” ujarnya.
Selain itu, tahap kesedaran dan perubahan sikap dalam kalangan wanita dan keluarga dinilai melalui kajian impak dan soal selidik yang meneliti perubahan dari segi pengetahuan, kemahiran dan amalan terhadap pembangunan diri, keluarga serta masyarakat.
Beliau turut menjelaskan bahawa pencapaian program diukur berdasarkan keselarasan dengan Dasar Wanita Solehah Negeri Kelantan, Dasar Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan serta Buku Panduan Keluarga Mawaddah, bagi memastikan semua inisiatif menepati matlamat pembangunan sosial yang digariskan oleh kerajaan negeri.
“Melalui pendekatan penilaian yang menyeluruh ini, kerajaan negeri dapat memastikan setiap program pembangunan wanita dan keluarga memberi kesan positif terhadap kesejahteraan masyarakat. Kejayaan pelaksanaan program ini wajar dijadikan model rujukan bagi negeri-negeri lain,” katanya.

0 Comments