Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 12 November - Kerajaan Negeri Kelantan menafikan dakwaan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air YB Mohd Akmal Nasir dalam tiga klip video di platform TikTok yang mendakwa kelewatan pengambilan tanah bagi projek tebatan banjir di negeri ini berpunca daripada kelemahan kerajaan negeri.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, dakwaan tersebut adalah mengelirukan dan tidak betul, kerana projek tebatan banjir berkenaan merupakan projek di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan, termasuk pelantikan syarikat konsultan dan firma juru ukur yang menguruskan kerja-kerja pengambilan balik tanah.
"Faktanya, projek tebatan banjir di Kelantan adalah projek kerajaan persekutuan. Proses pengambilan tanah dilaksanakan oleh syarikat konsultan dan juru ukur yang dilantik oleh kerajaan persekutuan, manakala Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Persekutuan turut terlibat dalam urusan ini."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tendong YB Rozi Mohamad yang bertanyakan tentang kelewatan pembinaan tebatan banjir, pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan), Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2025, di Kompleks Kota Darulnaim, hari keempat, semalam.
Kata Dato' Dr. Mohamed Fadzli lagi, peranan kerajaan negeri hanyalah menerima dokumen lengkap daripada pihak konsultan dan juru ukur sebelum dibentangkan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk kelulusan serta pewartaan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8 Kanun Pengambilan Balik Tanah 1990.
Beliau turut menjelaskan bahawa 21 lot tanah yang disebut oleh Timbalan Menteri sebagai “tidak dapat dikesan” (TDK) sebenarnya berpunca daripada kegagalan pihak konsultan dan juru ukur yang dilantik untuk merujuk kepada Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri sebelum proses pengambilan dilakukan.
"Lot TDK ini timbul kerana juru ukur yang dilantik kerajaan persekutuan tidak merujuk kepada bahagian teknikal PTJ serta pejabat PTG Negeri. Sekiranya mereka berbuat demikian, isu ini boleh dielakkan,” katanya.
Dato' Dr Mohamed Fadzli turut memaklumkan bahawa daripada 21 lot TDK yang dinyatakan, hanya tujuh lot sahaja yang masih berstatus TDK kerana pemilik sebenar belum dapat dikenal pasti. Selebihnya, 14 lot sama ada telah selesai atau berada di peringkat akhir penyelesaian.
"Kelewatan dalam pengambilan tanah ini boleh dielakkan sekiranya syarikat konsultan dan juru ukur yang dilantik oleh kerajaan persekutuan merujuk kepada PTJ serta PTG negeri dan bukan hanya membuat pengambilan balik tanah berdasarkan sistem pendaftaran hak milik berkomputer.
“Sistem pendaftaran hak milik berkomputer semata-mata tidak mampu mengesan lot tanah yang masih mempunyai isu teknikal di peringkat pejabat tanah dan jajahan,” ujarnya.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri Kelantan turut menzahirkan komitmen untuk terus bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan demi memastikan projek tebatan banjir dapat disiapkan demi manfaat rakyat.
“Kita amat menghargai kerjasama semua pihak dalam membantu rakyat. Apa-apa masalah yang timbul hendaklah dirujuk kepada jabatan negeri yang terlibat supaya penyelesaian dapat dicapai bersama,” katanya.


0 Comments