Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 12 November – Kelantan mengorak langkah ke arah pembentukan ekonomi baharu yang berpaksikan prinsip syariah dan pemerkasaan inovasi, selari dengan tema Belanjawan Negeri 2026, “Kelantan Sejahtera: Prihatin Rakyat, Ekonomi Berkat, Negeri Rahmat”.
Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah menegaskan bahawa sekarang adalah masa bagi Kelantan bergerak ke hadapan dengan strategi ekonomi yang lebih lestari dan berimpak tinggi.
Ketika menyokong perbahasan belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, YB Nik Bahrum menyatakan bahawa negeri ini perlu menumpukan kepada kekuatan sebenar yang dimiliki iaitu budaya Islam, warisan seni, kekayaan sumber manusia dan keindahan alam.
“Sudah tiba masanya Kelantan beralih kepada ekonomi baharu yang lestari, strategik dan sesuai dengan kekuatan sebenar negeri,” ujarnya pada sesi perbahasan Persidangan Dewan Negeri Kelantan (Belanjawan), hari kedua, pada Ahad.
Beliau tampil menggariskan empat sektor utama sebagai pemacu pertumbuhan masa depan iaitu Pelancongan Islam dan ekopelancongan komuniti, Industri halal bersepadu, Ekonomi digital dan teknologi hijau, serta Pertanian pintar dan agroekonomi moden.
Menurutnya, transformasi tersebut tidak hanya berorientasikan keuntungan, tetapi mesti mematuhi prinsip keberkatan dalam ekonomi.
“Daripada ekonomi berasaskan sumber kepada ekonomi berasaskan ilmu dan inovasi. Itulah wajah sebenar Ekonomi Berkat. Hasilnya halal, perniagaannya adil, dan manfaatnya kembali kepada rakyat,” jelasnya.
YB Nik Bahrum turut menegaskan bahawa Belanjawan 2026 bukanlah belanjawan sempurna, namun ia dibina atas kejujuran dan realiti kemampuan negeri.
“Kita tidak menunggu keajaiban dari luar. Kelantan telah membuktikan bahawa dengan dasar Islam yang jelas dan kepimpinan amanah, negeri ini mampu membina kemakmuran dengan caranya sendiri,” katanya.

0 Comments