Kelantan nafi dakwaan pelajar pondok rendah semangat cintakan negara


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 13 November – Kerajaan Negeri Kelantan menafikan dakwaan bahawa tahap kecintaan terhadap tanah air (hubbul watan) dalam kalangan pelajar pondok di negeri itu adalah rendah, seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan pada Rabu.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Ustaz Mohd Asri Mat berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri Kelantan semalam disifatkan sebagai tidak berasas dan tersasar daripada realiti sebenar pendidikan pondok di negeri itu.

Beliau menegaskan bahawa penilaian terhadap tahap kecintaan kepada negara tidak seharusnya dibuat secara tangkap muat hanya kerana pelajar pondok tidak mengikuti program kenegaraan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Adalah tidak adil untuk mengukur semangat hubbul watan para pelajar pondok semata-mata berdasarkan penglibatan mereka dalam program kenegaraan anjuran kerajaan persekutuan tanpa meneliti kandungan silibus dan aktiviti yang dijalankan di pondok itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di dalam media sosial, hari ini.

Menurutnya lagi, pondok-pondok di Kelantan mempunyai sejarah panjang dan tersendiri dalam memupuk nilai cintakan tanah air melalui pendekatan ilmu dan tarbiah.

"Tradisi keilmuan turath yang diwarisi daripada ulama terdahulu bukan sahaja membentuk akhlak dan jati diri pelajar, malah telah memainkan peranan penting dalam perjuangan menentang penjajah serta menggerakkan idea kemerdekaan Tanah Melayu.

“Peranan ulama pondok dalam perjuangan kemerdekaan bukanlah rahsia. Mereka mendidik masyarakat dengan semangat juang dan kesedaran menentang penjajahan, yang merupakan manifestasi sebenar cinta kepada tanah air,” jelasnya.

Tambahnya, generasi pelajar pondok masa kini masih mengekalkan pendekatan tradisional dalam pengajian sambil menerapkan nilai kenegaraan secara langsung dan tidak langsung melalui sesi talaqqi serta program tarbiah.

Tegasnya, Kerajaan Negeri Kelantan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh kefahaman kenegaraan dalam kalangan pelajar pondok, termasuk melalui Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PDPB) yang menganjurkan program, silibus khas dan daurah sejarah ulama pondok yang menonjolkan perjuangan menentang penjajahan serta semangat kemerdekaan.

"Sejarah tidak pernah menipu. Menilai rendah semangat cinta negara dalam kalangan pelajar pondok hanya kerana mereka tidak mengikuti acuan program kerajaan pusat adalah satu penilaian yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa acuan pendidikan pondok berteraskan keaslian turath Islam, digabungkan dengan pendekatan moden yang sesuai dengan keperluan pelajar masa kini, tanpa mengetepikan nilai asas hubbul watan yang mendalam.

Post a Comment

0 Comments