Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mempergiatkan usaha mempromosi pelancongan berasaskan kesihatan dengan menyasarkan pasaran dari negara serantau.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato' Kamarudin Md Nor berkata, negara tumpuan iaitu Indonesia, Singapura dan Thailand.
Katanya usaha awal dimulakan menerusi promosi di Pekanbaru, Indonesia termasuk penganjuran program lawatan suai kenal bagi menarik pesakit mendapatkan rawatan di Kelantan.
Menurut beliau, antara hospital yang bersedia menawarkan perkhidmatan tersebut iaitu Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dengan kepakaran neurologi serta Kota Bharu Medical Centre (KBMC) menawarkan kos rawatan lebih kompetitif.
“Walaupun jumlah pesakit antarabangsa belum tinggi, kemasukan pesakit dari Indonesia menunjukkan perkembangan positif,” katanya selepas Majlis Makan Malam Apresiasi Pemain Industri Pelancongan dan Penggiat Seni 2025 di sini baru-baru ini.
Beliau juga berkata, kekuatan di Kelantan kualiti rawatan setanding hospital besar di negeri lain, namun kos rawatan yang lebih rendah.
Kata beliau kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada aspek promosi, manakala hospital perlu memastikan mutu perkhidmatan serta rawatan terbaik.
Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan negeri turut menjenamakan semula Tourism Information Centre (TIC) kepada Tourism Kelantan bagi mencerminkan peranan agensi itu yang lebih luas merangkumi pengurusan pelancongan, kebudayaan dan kesenian.
Tambah beliau, keputusan tersebut dipersetujui mesyuarat kerajaan negeri minggu lepas dan penjenamaan semula itu menggambarkan fungsi menyeluruh agensi berkenaan yang sebelum ini dilihat sekadar sebagai pusat penerangan pelancongan.
“Perubahan struktur pentadbiran akan dilaksanakan secara berperingkat termasuk penubuhan lembaga serta penyusunan semula organisasi,” katanya.

0 Comments