34 projek bekalan air dilaksana di Kelantan

Oleh Asri Hazim |

KOTA BHARU: Setakat ini 13 projek projek berkaitan bekalan air di Kelantan telah siap, sembilan dalam pembinaan, 16 di peringkat reka bentuk dan sembilan lagi dalam perancangan.

Kebanyakan projek tersebut dijangka siap menjelang 2028, manakala dua projek berskala besar akan disempurnakan pada 2030.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Saizol Ismail berkata, rakyat Kelantan masalah bekalan air bersih di Kelantan dijangka berakhir dalam tempoh empat tahun lagi.

Katanya keyakinan itu bersandarkan pelaksanaan 34 projek berkaitan bekalan air yang sedang giat dibina dan dirancang di seluruh negeri.

Kata beliau projek berkenaan merangkumi pembinaan serta menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA), penambahan kapasiti sistem agihan dan penggantian paip lama.

“Apabila keseluruhan projek tersebut siap, isu bekalan air yang sekian lama membelenggu rakyat Kelantan dijangka dapat diselesaikan secara menyeluruh,” katanya selepas majlis Apresiasi Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) bersama Media di sini baru-baru ini.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri menyasarkan penggantian paip lama sepanjang 150 kilometer setiap tahun sebagai langkah agresif mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) dan menstabilkan bekalan air.

Katanya, hampir 4,000 km paip usang dikenal pasti di seluruh Kelantan dan lebih 200 kilometer telah diganti setakat ini.

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 150 kilometer paip lama dapat ditukar setiap tahun secara berperingkat.

“Keutamaan diberikan kepada kawasan berisiko tinggi yang kerap mengalami kebocoran dan tekanan air rendah, khususnya di Kota Bharu yang merekodkan jumlah paip lama tertinggi,” ujarnya.

Saizol juga berkata tujuh jajahan dikenal pasti sebagai kawasan kritikal berdepan gangguan bekalan air termasuk Pasir Mas, Tumpat, Machang, Bachok dan Kota Bharu.

Oleh itu katanya AKSB mengambil langkah segera dengan menyediakan 16 lori tangki bagi menghantar bekalan air ke kawasan terjejas.

“Lori menghantar bekalan ke tangki statik untuk memudahkan pengguna. Inisiatif ini disokong geran kerajaan Persekutuan berjumlah RM6.7 juta bagi tempoh dua tahun,” katanya.

Menurutnya, walaupun bersifat penyelesaian sementara, langkah itu sekurang-kurangnya memastikan penduduk tidak terputus bekalan sepenuhnya.

Post a Comment

0 Comments