Oleh : Che Maziah Mat
KOTA BHARU, 10 November – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh sektor pelancongan, kebudayaan, kesenian dan warisan melalui pelbagai inisiatif baharu bagi menjadikan negeri ini sebagai destinasi utama pelancongan di Pantai Timur menjelang tahun hadapan.
Berucap pada sesi penggulungan di Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan), Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 hari ini, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor, merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Kelantan atas peruntukan sebanyak RM7.6 juta kepada jawatankuasa berkenaan bagi tahun 2026, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan negeri untuk memajukan industri pelancongan tempatan.
Beliau berkata, sektor pelancongan negeri menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan kehadiran 11.5 juta pengunjung pada tahun 2024, dengan sasaran 12 juta pelancong ditetapkan bagi tahun 2025.
“Peningkatan jumlah pengunjung ini menunjukkan keyakinan pelancong terhadap Kelantan yang semakin dikenali sebagai destinasi menarik berasaskan budaya dan alam semula jadi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa syarikat penerbangan AirAsia sedang menimbangkan secara serius untuk menjadikan Kota Bharu sebagai hab penerbangan Timur Laut yang merangkumi laluan ke Thailand, Indochina, Filipina, Kemboja dan Vietnam.
“Langkah ini akan memberi limpahan besar kepada sektor pelancongan negeri memandangkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) kini merupakan lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia dan paling sibuk di Semenanjung, dengan purata 24 penerbangan setiap hari,” ujarnya.
Beliau turut memetik kenyataan Ketua Pengarah Malaysia Airports Berhad yang memaklumkan bahawa dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, LTSIP telah mengendalikan 1.3 juta penumpang. Justeru, katanya, cadangan menaik taraf lapangan terbang itu kepada status antarabangsa adalah langkah wajar bagi menampung pertambahan jumlah pelancong ke negeri ini.
Sementara itu, kerajaan negeri turut meninjau perkembangan projek Tasik Nenggiri di Gua Musang yang berpotensi dijadikan hab pelancongan baharu. Katanya, kerajaan akan mengeluarkan Request For Proposal (RFP) kepada pihak swasta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan berkenaan.
Selain itu, penganjuran aktiviti luncur ombak di Pantai Kemasin akan diteruskan dengan skala lebih besar sempena musim tengkujuh tahun ini, sekali gus menjadikannya antara acara tahunan yang semakin mendapat sambutan pelancong dalam dan luar negeri.
Dalam masa sama, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut memperuntukkan RM4 juta bagi tahun 2024 dan 2025 untuk pembangunan pelancongan di Dabong, yang turut diiktiraf sebagai kawasan Geopark oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
“Dabong perlu bersedia sepenuhnya dengan kemudahan dan promosi mencukupi bagi menerima lebih ramai pelancong pada masa akan datang,” katanya.
Beliau yakin, dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif bersepadu ini, Kelantan akan terus muncul sebagai destinasi pelancongan berdaya saing, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.

0 Comments