Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 10 November – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh kesejahteraan orang kurang upaya (OKU) melalui kerjasama antara Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK) dan Penyelaras OKU Parlimen (PPO), bersama pelbagai agensi kerajaan negeri.
Menjawab kepada soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang YB Harun Ismail pada Persidangan Dewan Negeri Kelantan kali ketiga bagi tempoh penggal yang ketiga, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim menyatakan rasa syukur kerana peruntukan bagi bantuan dan komuniti OKU dalam belanjawan negeri 2026 meningkat daripada RM500,000 tahun lepas kepada RM600,000 tahun ini.
“Bagi menjamin keberkesanan program, kerjasama padu diwujudkan antara kerajaan negeri dan Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK) yang melibatkan pelbagai NGO OKU. Usaha ini tidak berhenti dari kalangan Penyelaras Pembangunan OKU Parlimen serta agensi utama kerajaan. JKM dan U-KeKWa telah menunjukkan kesan positif yang ketara terhadap kesejahteraan komuniti OKU di negeri ini,” jelasnya.
Menurutnya lagi, dari segi penyertaan dan kesedaran masyarakat, data JKM menunjukkan Kelantan mencatatkan antara jumlah pendaftaran OKU tertinggi dengan 59,277 orang sehingga kini.
"Kesedaran rakyat terhadap kepentingan pendaftaran meningkat hasil advokasi MPPOK, PPO dan kerjasama semua pihak" jelasnya.
Dalam aspek pembangunan jati diri dan spiritual pula, pelbagai program telah dianjurkan termasuk kuliah dhuha, jelajah OKU imarah masjid, majlis berbuka puasa dan solat berjemaah OKU serta kelas Al-Quran dan Fardhu Ain. Program sebegini melahirkan peserta OKU yang lebih yakin, berilmu dan aktif dalam masyarakat.
Tambah Dato' Rohani, bagi aspek pendidikan dan kepimpinan, kerjasama antara MPPOK dan agensi berkaitan membuka peluang OKU menambah kemahiran dan keterampilan kepimpinan, sekali gus melahirkan lebih ramai penggerak OKU berani tampil menjadi wakil penyelaras di peringkat masing-masing.
Sementara itu, dari aspek peluang pekerjaan dan ekonomi, MPPOK dan PPO membantu OKU melalui program pemerkasaan ekonomi, termasuk penyediaan latihan, peralatan dan bimbingan keusahawanan bersama IPT dan badan korporat, supaya OKU mampu menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan.
Dalam hal dasar dan tadbir urus, penubuhan Majlis Penasihat OKU Negeri Kelantan (MPON) serta pelantikan penyelidik sebagai kumpulan pemikir dasar OKU Muqarrabun membuktikan keberkesanan perancangan dan pemantauan bersepadu.
Hasilnya, Buku Fiqh Siasah OKU dijangka diterbitkan tahun hadapan bagi memenuhi keperluan OKU.
"Kesemua inisiatif ini menunjukkan kerajaan yang bukan hanya berbentuk kebajikan, tetapi juga pembangunan modal insan dan pemberdayaan OKU agar dapat berdikari dan menyumbang kembali kepada masyarakat" ujarnya.

0 Comments