Kelantan Perkukuh Tindakan Bendung Wabak Denggi Dan Penyakit Berjangkit


Oleh : Che Maziah Mat

KOTA BHARU, 11 November – Kerajaan Negeri Kelantan terus mempergiat langkah proaktif bagi membendung peningkatan kes demam denggi, leptospirosis dan penyakit berjangkit lain di negeri ini melalui tindakan bersepadu bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi berkaitan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah, berkata statistik semasa menunjukkan penurunan ketara dalam kes demam denggi di negeri ini. Sehingga 4 Oktober 2025, sebanyak 1,192 kes dilaporkan berbanding 2,510 kes dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu penurunan sebanyak 52.51 peratus.

“Bagi tahun ini, tiada kes kematian akibat demam denggi direkodkan berbanding dua kes pada tahun lepas. Dari segi wabak pula, hanya 87 wabak denggi dilaporkan berbanding 161 wabak pada tahun 2024 menunjukkan penurunan sebanyak 46 peratus,” katanya ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Lama, YB Dr. Hafidzah Mustakim, pada Hari Keempat Persidangan Belanjawan Dewan Negeri Kelantan hari ini.


Menurut beliau, strategi utama kerajaan negeri dalam membendung penularan denggi adalah melalui pendekatan source reduction, iaitu memastikan persekitaran sentiasa bersih serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes secara berterusan.

Antara langkah yang telah dan akan dilaksanakan termasuklah Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes, yang turut disertai dengan pelancaran Projek Pelepasan Nyamuk Aedes Berwolbachia di Bandar Baru Kubang Kerian. Ketika ini, terdapat tiga lokaliti pelepasan nyamuk Berwolbachia aktif di negeri Kelantan.

Selain itu, Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Bil. 2/2025 yang dijadualkan November ini dijangka meningkatkan semula kesedaran masyarakat terhadap ancaman denggi serta langkah-langkah pencegahannya.

Pada masa sama, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) turut melaksanakan tindakan penguatkuasaan bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu bagi memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan awam seperti Pasar Siti Khadijah. Selain itu, aktiviti gotong-royong turut dijalankan di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi wabak di seluruh daerah dengan kerjasama JKNK dan komuniti setempat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua agensi dan komuniti bagi memastikan usaha pencegahan denggi dapat dilaksanakan secara berterusan dan berkesan di seluruh negeri.

“Kerajaan negeri juga akan mempertingkat tahap kebersihan awam dengan menambah bilangan tempat pembuangan sampah di kawasan pinggir bandar serta meningkatkan jumlah lori pemungut sampah supaya penduduk tidak membuang sisa di kawasan belakang rumah yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments