Dun Kelantan tolak federalisasi hasil mineral

 

Oleh A Rahman Harun

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan meluluskan usul menolak federalisasi sumber dan hasil mineral tanpa partisipasi negeri serta mempertegaskan hak negeri.

Usul terbabit dikemukakan Zubir Abu Bakar (PN-Mengkebang) mengambil kira langkah kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas pada 26 Oktober lalu.

Beliau berkata, perjanjian tersebut turut membabitkan sumber nadir bumi (REE), sedangkan bahan tersebut merupakan hak negeri dan memerlukan persetujuan negeri terhadap sebarang keputusan.

"Aspirasi kerajaan pusat untuk mewujudkan rantaian industri sumber nadir bumi di peringkat huluan pertengahan dan hiliran adalah disokong, namun ia bercanggah tanpa penglibatan kerajaan negeri.

"Apa sahaja dasar pelan pembangunan atau perjanjian antarabangsa yang menyentuh sektor mineral dan hasil mesti dibuat dengan rundingan rasmi dan libat urus penuh negeri sebagai pemilik," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Usul tersebut turut dibahas Wan Rohimi Wan Daud (PN-Melor) dan dilulus selepas mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.


Sebelum ini, Majlis Menteri Besar Kerajaan Empat Negeri (SG4) menegaskan REE merupakan hak mutlak kerajaan negeri yang termaktub di bawah Jadual Sembilan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis memilik 70 peratus REE di negara ini mahu memastikan hasil kekayaan REE diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.

Speaker Dun Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah ketika meneliti usul tersebut berkata, usul terbabit memenuhi tiga syarat yang ditetapkan iaitu mustahak, kepentingan rakyat dan perlu disegerakan.

 

Post a Comment

0 Comments