Kelantan terus sokong penggiat seni dan budaya tempatan


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 12 November – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited memberi sokongan kepada penggiat seni dan budaya tempatan dengan menyediakan pelbagai ruang serta peluang untuk mereka menonjolkan bakat masing-masing.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata usaha itu dijalankan melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi agensi negeri dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Menurutnya, antara contoh penganjuran yang mendapat sambutan ialah program Himpunan 1100 anjuran Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV beberapa bulan lalu.

Katanya lagi, kerajaan negeri turut bercadang menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran para pesilat yang dijangka menghimpunkan lebih 1,000 pesilat daripada pelbagai perguruan silat di Kelantan.

"Insya-Allah, tempat dan tarikh akan diumumkan kemudian,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Ipoh, YB Bahari Mohamad Nor, pada Persidangan Kali Yang Ketiga Dewan (Belanjawan), Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2025, hari kelima, hari ini.

Tambahnya, persembahan seperti silat dan dikir barat sering diadakan dalam majlis rasmi anjuran jabatan negeri dan persekutuan, manakala pertandingan seni juga diadakan bagi menggalakkan penyertaan penggiat budaya tempatan.

Antara yang mendapat sambutan ialah pertandingan Seni Silat Naga Boro dan Silat Jatuh di Pasir Mas yang memperlihatkan ketangkasan dan keindahan gerak pesilat.

Selain itu, katanya, Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) turut menyediakan ruang persembahan secara percuma kepada penggiat seni untuk membuat persembahan di Gelanggang Seni Kota Bharu setiap petang Isnin, Rabu dan Sabtu, serta di Laman Warisan Kampung Laut setiap petang Jumaat.

“Penggiat seni yang dijemput membuat persembahan di Gelanggang Seni turut diberikan imbuhan sebagai galakan,” katanya.

Menjawab persoalan beberapa ADN tentang penubuhan Pusat Latihan Silat, YB Datuk Kamarudin menjelaskan bahawa, buat masa ini kerajaan negeri belum bercadang menubuhkan pusat latihan silat rasmi, namun tetap memberi sokongan kepada perguruan sedia ada di seluruh negeri.

Untuk rekod, antara perguruan silat yang aktif ialah Silat Setanjak dengan 30 gelanggang, Silat Gayong (120 gelanggang), Silat Lintau (2 gelanggang), Silat Terlak Asli (210 gelanggang) dan Silat Cekak Hanafi (12 gelanggang).

"Kerajaan negeri akan terus membantu dan menyokong usaha memperkasakan seni budaya tempatan agar terus hidup subur dalam masyarakat,” katanya.

Post a Comment

0 Comments