oleh A Rahman Harun KUALA LUMPUR: Kolam Bukit Merah, Perak yang sumber rezeki penduduk dengan menternak ikan tawar semakin surut dibimbangi berpunca bekalan air dihantar ke Pulau Pinang.Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) tidak menolak kemungkinan paras air di kolam terbabit berkurangan kerana sumber air di situ disalur ke kawasan di Pulau Pinang.
Katanya menurut satu laporan kapasiti air turun sehingga 70 peratus pada tahun lalu menjejaskan sektor pertanian termasuk aktiviti penanaman padi di Kerian selain memberi kesan industri domestik.
Oleh itu katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu menyalurkan peruntukan khas bagi menyelenggara sumber air di kolam tersebut.
"Kapasiti air semakin kurang 70 peratus pada 2024, punca kurang air akibat mendapan yang semakin tinggi dan meluas, ia perlukan bajet yang besar bagi mendalamkan kolam untuk sektor pertanian.
"Kemungkinan juga air dihantar ke Pulau Pinang 300 juta liter sehari menjelang 2033," katanya perbahasan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan Rakyat semalam.
Mohd Misbahul Munir turut membangkitkan mengenai jadual agihan baja padi kepada pesawah memandangkan ada dakwaan masih ramai pesawah belum mendapat bantuan terbabit.
Sedangkan usia padi sekarang sudah melebihi dua bulan dan sekiranya kerajaan melalui agensinya dilihat melengah-lengahkan, ia bakal menjejaskan hasilnya akan dituai dalam tempoh tiga bulan lagi.
Bahkan katanya perkara itu pernah dibangkit kepada menteri, namun tiada noktah diberikan termasuk jawapan bertulis daripada kerajaan.
"Jadual edaran baja padi di Kerian Laut masih ramai lagi tidak dapat bekalan sedangkan usia padi sudah melebih dua bulan, kalau ia berlaku kelewatan menyebabkan pembesaran padi akan terganggu.
"Saya juga masih menunggu jawapan bertulis menteri terhadap beberapa persoalan, namun masih belum dapat, sedangkan pesawah menunggu-nunggu jawapan kerajaan," katanya.
0 Comments