Kerajaan negeri tegas tangani gejala sosial dan LGBT di Kelantan


Oleh: Asyura Muhamad

KOTA DARULNAIM, 12 November – Kerajaan negeri terus memberi keutamaan dalam menangani pelbagai masalah gejala sosial termasuk LGBT yang berlaku di negeri ini, khususnya menerusi pemantapan terhadap enakmen-enakmen sedia ada yang telah diwarta dan dilaksanakan di negeri ini.

Menurut Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan (JPSNK) telah melakukan pendakwaan terhadap kesalahan-kesalahan yang menyalahi Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, termasuk berkaitan LGBT.

“Memang terdapat 16 seksyen yang terbatal, namun daripada 68 seksyen keseluruhannya, masih ada 52 seksyen yang masih diguna pakai dan boleh dikuatkuasakan sehingga ke hari ini.

"Bagi isu LGBT ini, seksyen yang masih lagi terpakai ialah seksyen 15 (musahaqah), seksyen 19 (lelaki yang berlagak perempuan), seksyen 20 (perempuan yang berlagak lelaki) dan seksyen 22 (pembedahan kosmetik yang melanggari syariah) termasuk pembedahan plastik bagi perubahan transgender,” katanya pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 2025 di Kompleks Lota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya, sehingga November 2025, sebanyak 17 kes berkaitan LGBT telah dibuka kertas siasatan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah dengan JPSNK, namun kebanyakan kes adalah Non-Further Action (NFA) iaitu tidak ke arah pendakwaan seterusnya, tetapi lebih kepada khidmat kaunseling.

Selain itu, katanya lagi, JPSNK dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) juga telah melakukan pelbagai program seperti program penerangan undang-undang syariah di peringkat sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), masjid serta di jabatan dan agensi-agensi kerajaan.

Antara tindakan lain yang dibuat, ialah membuat siasatan dan serbuan bagi setiap aduan yang dilaporkan, mengadakan pameran-pameran di IPT, program penerangan kepada masyarakat di Program Cakna Rakyat di setiap DUN serta membuat papan tanda di lokasi-lokasi tumpuan ramai untuk mencegah LGBT dan lain-lain.

Beliau turut memaklumkan bahawa usaha dakwah dalam pelbagai segi telah dilakukan oleh kerajaan negeri dalam membendung hal ini, termasuklah di pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK) itu sendiri, telah pun mengeluarkan khutbah Jumaat khas tentang LGBT pada 8 Ogos lalu dengan tajuk “Hak Asasi yang Batil” yang telah dibaca oleh khatib-khatib di masjid seluruh Kelantan.

Post a Comment

0 Comments