KIAS tawar program PhD, sasar ilmuwan rabbani

Rektor KIAS, Profesor Dr. Mazlan Ibrahim

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 30 November – Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) kini membuka permohonan bagi program Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Islam pertamanya, susulan kelulusan rasmi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Program berkenaan memberi peluang kepada para sarjana, pendidik, penyelidik dan pengamal industri untuk meningkatkan kecemerlangan akademik ke peringkat tertinggi.

Rektor KIAS Profesor Dr. Mazlan Ibrahim, berkata penawaran program PhD itu merupakan langkah strategik bagi memperkukuh kedudukan KIAS sebagai pusat ilmu berteraskan tradisi keilmuan Islam.

“Kelulusan ini membuka ruang bagi pembangunan penyelidikan berkualiti tinggi serta membuktikan komitmen kami melahirkan ilmuwan Rabbani yang mampu menghadapi cabaran semasa ummah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, program berkenaan telah membuka permohonan kemasukan Disember menawarkan mod penyelidikan, dengan tempoh minimum enam semester bagi pengajian sepenuh masa.

Bagi mod separuh masa, tempoh minimum ditetapkan selama dua belas semester, selaras dengan standard kelayakan nasional.

Tambahnya, ketika ini, KIAS mempunyai 28 pensyarah berkelayakan PhD, termasuk 17 dalam bidang Pengajian Islam, sekali gus membuktikan kemampuan akademik institusi itu dalam membimbing calon PhD melalui penyelidikan berimpak tinggi.

“Sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi (IPT) milik Kerajaan Negeri Kelantan, KIAS terus memacu pembangunan modal insan Rabbani yang cemerlang, berdaya saing dan mampu memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan ummah di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments