Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB YB Dato' Wan Roslan
Kredit foto: FB YB Dato' Wan Roslan
KOTA DARULNAIM, 30 November - Delegasi Kerajaan Negeri Kelantan telah mengadakan lawatan kerja ke Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) bagi melihat dengan lebih dekat inisiatif dan pencapaian Sarawak dalam memajukan ekonomi digital serta memperkukuh kesalinghubungan dan perkhidmatan telekomunikasi di negeri tersebut.
Ketibaan rombongan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Dato’ Ir. Ts. Sudarnoto Osman bersama Ketua Pegawai Teknolog, Ts. Hamadlan Hamdan.
Delegasi Kelantan diketuai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat diiringi Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof dan Pengurus Besar Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd. Mohd Roslan Mohd Zain.
Turut serta, pegawai-pegawai UPEN, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat (BPTM), Bahagian Koridor Infrastruktur & Sistem Maklumat Geospatial (BKI-GIS), Bahagian Undang-undang (BAHUU) serta Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd.
Dato' Wan Roslan menyifatkan lawatan tersebut sebagai sangat bermanfaat, khususnya dalam memahami bagaimana SDEC berjaya membudayakan inovasi dalam kalangan rakyat Sarawak.
Menurutnya, SDEC turut berkongsi mengenai usaha membangunkan infrastruktur digital, memperluas capaian internet dan telekomunikasi, termasuk penyediaan perkhidmatan di kawasan luar bandar bagi memastikan masyarakat mendapat akses yang lebih baik.
“Insya-Allah, hasil lawatan ini akan dijadikan asas untuk memperkemas pelan digital negeri Kelantan supaya rakyat dapat menikmati perkhidmatan yang lebih cekap dan pantas,” katanya di media sosial pada Sabtu.



0 Comments