MESKOM eratkan hubungan masyarakat pedalaman dengan agensi kerajaan


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 2 November — Program Jalinan Mesra Antara Kaum Bersama Komuniti Orang Asli (MESKOM) yang berlangsung di Pos Tuel, Gua Musang dapat merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat pedalaman.

Program anjuran Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Dewan Negeri (DUN) Galas serta komuniti setempat itu turut dihadiri Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhammad, pada Sabtu.

Menurutnya, penganjuran MESKOM bukan sekadar mengeratkan silaturahim antara agensi kerajaan dan masyarakat Orang Asli bahkan turut dibawa bersama khidmat kesihatan, kebajikan dan aktiviti kemasyarakatan terus ke lapangan.



“Program sebegini penting untuk memastikan masyarakat pedalaman tidak terpinggir daripada arus pembangunan.

"Kita perlu turun mendengar sendiri keperluan mereka dan membantu sebaik mungkin,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Katanya, seawal pagi lagi, Dewan Orang Ramai Pos Tuel dipenuhi hadirin untuk menyertai pelbagai aktiviti yang diatur.

Program dimulakan dengan Bicara Sejahtera disampaikan oleh Dr. Nur Aini Afifah Mohd Huzaimy, diikuti pemeriksaan kesihatan percuma serta khidmat kebajikan kepada warga emas dan keluarga asnaf.


Selain itu katanya, program ziarah beberapa penduduk Orang Asli yang uzur dan sakit untuk melihat sendiri keadaan mereka turut diadakan.

"Ziarah ini mengingatkan kita bahawa khidmat kepada rakyat bukan hanya di pentas ucapan, tetapi mesti turun menyentuh kehidupan sebenar masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya, program bertambah meriah dengan pelbagai aktiviti sukan rakyat dan permainan tradisional seperti pijak belon, lari bawa bola ping pong, parut ubi, sambut kasih, sepak penalti, tarik tali serta pertandingan menyumpit turut diadakan.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut, khususnya komuniti Pos Tuel yang menyambut kehadiran rombongan dengan penuh mesra.

“Moga ukhuwah yang terjalin ini menjadi asas kepada kesejahteraan dan kemajuan berterusan masyarakat orang asli di Kelantan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments