Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 2 November – Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi menyeru Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia Kelantan untuk turun ke lapangan sebenar bagi memahami realiti kehidupan rakyat dan isu yang berlaku di kawasan masing-masing.
Beliau berkata demikian dalam sesi Youth Talks with MP bersama wakil ADN Belia yang berlangsung di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Dalam sesi tersebut, Dato’ Mumtaz turut menerangkan peranan Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Negeri, selain memperkenalkan struktur serta bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi membantu ADN Belia memahami fungsi pentadbiran negara secara menyeluruh.
"ADN Belia perlu turun ke lapangan sebenar dan ambil tahu isu atau permasalahan rakyat di kawasan masing-masing. Anda mesti jadi mata dan telinga kepada kerajaan,” tegasnya.
Beliau turut menasihatkan agar setiap kerja yang dijalankan oleh ADN Belia disusun secara berstruktur dan berasaskan data serta fakta yang tepat.
"Setiap ADN Belia perlu tahu geopolitik dan demografi masyarakat di DUN masing-masing. Semua hujah dan perbahasan hendaklah berpandukan kepada maklumat yang sahih,” katanya.
Selain itu, Dato’ Mumtaz turut menggesa ADN Belia memperkukuh keupayaan diri dengan membina rangkaian antarabangsa serta menguasai pelbagai bahasa.
"Pemimpin muda perlu berfikiran jauh ke hadapan. Kuasai pelbagai bahasa dan bina jaringan antarabangsa sebagai persediaan menghadapi cabaran global,” ujarnya.
Beliau turut berpesan kepada para ADN Belia yang bakal bersidang buat kali pertama sesi 2025/2026 agar setiap usul yang dibahaskan dalam Sidang ADN Belia Kelantan pada 17 dan 18 November nanti perlu berasaskan kepada data dan fakta bagi memastikan mutu perbahasan yang matang serta berimpak tinggi.



0 Comments