Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 1 November – Pasar yang sebelum ini dikenali sebagai Pasar Berek 12 kini diberi nama baharu iaitu Pasar Siti Fatimah, sekali gus menambah satu lagi mercu tanda baharu di bandar Kota Bharu.
Pengumuman penukaran nama tersebut dibuat oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud semasa Majlis Perasmian Pasar Siti Fatimah yang diadakan di perkarangan pasar berkenaan, hari ini.
Menurutnya, pemilihan nama Siti Fatimah adalah bersempena dengan nama puteri Rasulullah SAW, Fatimah Az-Zahra, yang terkenal dengan keperibadian mulia serta menjadi teladan kepada umat Islam.
“Pasar di Kelantan kebanyakannya telah dinamakan sempena tokoh wanita Islam seperti Pasar Siti Khadijah dan Pasar Siti Aisyah. Oleh itu, kita memilih nama Siti Fatimah untuk pasar ini bersempena nama anakanda Rasulullah SAW yang merupakan ketua wanita ahli syurga,” katanya.
Tambah beliau, keperibadian Siti Fatimah yang menyerupai Rasulullah SAW dari segi percakapan dan tingkah laku wajar dijadikan contoh kepada masyarakat, khususnya para peniaga dan pengunjung pasar.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Kota Bharu YB Dato’ Sri Takiyudin Hasan, dalam ucapan alu-aluannya mencadangkan agar pasar tersebut diberi nama baharu bersempena majlis perasmian rasmi yang diadakan.
Dalam majlis sama, Menteri Besar turut meluluskan permohonan sumbangan yang dipohon oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bagi tujuan membaik pulih beberapa kerosakan di pasar berkenaan.
“Saya meluluskan sepenuhnya permohonan tersebut sebagaimana yang dinyatakan dalam surat.
"Saya yakin permohonan ini dibuat mengikut keperluan dan kemampuan kerajaan. Ini kerana dalam Islam, perbelanjaan perlu dilakukan secara sederhana dan berhemah, tidak boros dan tidak kedekut,” jelasnya.
Untuk rekod, Pasar Berek 12 telah melalui proses naik taraf menyeluruh bermula pada tahun 2016 selepas beroperasi sekian lama dalam keadaan kurang selesa. Projek yang menelan kos sebanyak RM4.8 juta tersebut siap sepenuhnya pada 30 April 2018 dan diserahkan secara rasmi kepada MPKB-BRI pada 30 September 2018.
Kini, pasar berkenaan tersergam indah dengan bangunan tiga tingkat yang dilengkapi dewan dan kemudahan lif bagi kemudahan pengguna.
Kos pembinaan lif sebanyak RM200,000 disumbangkan oleh kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Perikatan Nasional ketika itu.
Terdapat 179 peniaga beroperasi di pasar yang dibahagikan kepada lima zon utama iaitu zon barangan basah, zon sayur dan buah, zon makanan, zon runcit, serta zon pakaian dan pelbagai.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kota Bharu YB Dato’ Sri Takiyudin Hasan, Ahli Dewan Negeri Tanjung Mas merangkap Exco Kerajaan Negeri Kelantan Dato’ Rohani Ibrahim dan ADN Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman.
Turut mengiringi, Yang Dipertua MPKB-BRI Dato’ Azi Rahimee Mohamed dan Setiausaha MPKB-BRI Mohamad Othman.





0 Comments