Oleh Salmah Mat Husain
PASIR MAS: Tasik
yang mempunyai keindahan semula jadi di Danau Tok Uban  berpotensi besar dibangunkan semula sebagai
tarikan pelancong di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Dato’ Kamarudin Mat Nor berkata, kerajaan negeri akan meneliti cadangan untuk mempertingkatkan kemudahan asas sebagai destinasi pelancongan.
Katanya langkah penambahbaikan termasuk menyediakan kemudahan asas seperti surau, tandas awam dan kawasan jualan produk tempatan.
“Usaha itu perlu dilakukan berikutan sambutan masyarakat terhadap kawasan terbabit begitu menggalakkan.
“Kerjasama Majlis Daerah Pasir Mas amat diperlukan untuk memastikan kawasan itu terus berkembang sebagai pusat tumpuan pelancong.
"Selain itu kita pastikan aktiviti di sini dijalankan sepanjang tahun bagi menarik lebih ramai pengunjung serta meningkatkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Kereta Volkswagen Klasik SeMalaysia Kelantan: Pra Bekwoh Vol 5.0 di Danau Tok Uban, semalam.
Menurutnya juga antara cadangan aktiviti yang boleh diperkenalkan pelayaran santai (cruise) di tasik sambil menikmati hidangan, pertandingan memancing dan pelbagai aktiviti kekeluargaan.
Oleh itu kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan pihak swasta bagi menyediakan kemudahan seperti feri dan kelengkapan rekreasi di kawasan itu.
"Kita juga berharap lebih banyak pihak termasuk media dapat memainkan peranan dalam mempromosikan keindahan Danau Tok Uban,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Presiden Kelab Volkswagen Klasik Kelantan, Wan Azhar Wan Yusof berkata, program dua hari itu menghimpunkan lebih 150 kenderaan klasik termasuk peserta dari seluruh negara.
Katanya, program tersebut merupakan prapromosi acara peringkat antarabangsa yang akan diadakan tahun hadapan yang melibatkan penyertaan kelab dari Thailand, Indonesia, Sabah dan Sarawak.
“Program ini bukan sekadar perhimpunan peminat kereta klasik, tetapi juga usaha mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan serta memperkenalkan keunikan warisan automotif kepada generasi muda,” katanya.
Beliau turut menambah, penganjuran program di lokasi berbeza setiap kali diadakan sebagai strategi bagi mempromosikan pelbagai tempat menarik di seluruh Kelantan.
"Kita berharap melalui kaedah ini ia akan membuka ruang kepada kelab lain untuk turut memperkenalkan kawasan masing-masing," ujarnya.
Selain aktiviti pameran, persatuan itu juga terlibat program amal dengan menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim dan membersihkan masjid.




0 Comments