Idea baharu, cadangan penambahbaikan Madinah Ramadan 2026 dialu-alukan - YB Hilmi


Oleh: Syamimi Manah
Kredit Foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 3 November – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah mengalu-alukan sebarang cadangan dan penambahbaikan daripada semua pihak bagi memperkukuh pelaksanaan program Madinah Ramadan 1447H/2026M akan datang.

Menurutnya, keterlibatan pelbagai pihak amat penting dalam memastikan penganjuran program tahunan itu terus relevan serta memberi manfaat besar kepada rakyat negeri Kelantan.

"Mesyuarat kali ini meneliti laporan pasca nilai penganjuran tahun lepas serta mendengar pembentangan cadangan pengisian program sepanjang Ramadan akan datang.

"Kami amat mengalu-alukan sebarang idea dan cadangan bagi penambahbaikan daripada semua pihak,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Induk Madinah Ramadan 1447H/2026M yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua MPKB-BRI Dato' Azi Rahimee Mohamed, Ahli-Ahli Majlis, Pengarah serta pegawai-pegawai MPKB-BRI di Dewan Bunga Raya, Majlis Perbandaran Kota Bharu–Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada Ahad.


Tambahnya, program Madinah Ramadan yang akan memasuki tahun ke-21 penganjurannya merupakan inisiatif tahunan Kerajaan Negeri Kelantan yang diurusetiakan oleh MPKB-BRI sepanjang Ramadan.

"Setiap tahun, Madinah Ramadan tampil dengan tema tersendiri. Pada tahun 2024 bertemakan Cinta Palestin, manakala bagi tahun 2025 pula bersempena Dua Dekad Kota Bharu Bandar Raya Islam" jelasnya.

Pada masa sama, YB Hilmi turut mengalu-alukan penyertaan dan sumbangan daripada semua pihak bagi menjayakan program berkenaan.

"Pihak MPKB-BRI amat mengalu-alukan sebarang bentuk derma, sumbangan dan penajaan bagi menghidupkan lagi semangat Ramadan yang penuh keberkatan ini,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments