KOTA BHARU, 21 November – Program Terbitan Sukuk Wakalah bernilai RM300 juta antara Permodalan Kelantan Berhad (PKB), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), dengan Maybank Investment Bank Berhad dijangka memberi impak besar kepada rakyat serta mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Kelantan.
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, pelancaran sukuk tersebut membuktikan komitmen kerajaan negeri melalui PKB dalam meneroka instrumen pasaran modal yang patuh Syariah, lebih kos efektif dan mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat.
![]() |
| Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud |
Menurut beliau, terbitan sukuk berkenaan akan menjadi pemangkin kepada usaha memajukan negeri melalui pelaburan terancang dan berdaya saing.
Katanya, dana sukuk itu akan mengukuhkan lagi operasi Ar-Rahn PKB yang selama ini menjadi pilihan rakyat serta tulang belakang kepada perkembangan ekonomi mikro di Kelantan. Ia juga akan meluaskan pelaburan strategik yang berupaya menambah sumber pendapatan negeri secara berterusan.
“Selain itu, dana yang diperoleh dapat membiayai semula kedudukan kewangan syarikat ke tahap lebih baik, selain menyokong operasi dan pembangunan PKB agar lebih mampan dan kompetitif.
“Usaha ini selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan setiap dasar pembangunan mengambil kira keuntungan jangka panjang serta kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Program Terbitan Sukuk Wakalah PKB di sebuah hotel di sini, hari ini.
Jelas beliau lagi, kerajaan negeri melihat inisiatif ini sebagai langkah strategik untuk memperluas sumber pembiayaan negeri melalui pendekatan pasaran modal yang patuh Syariah, telus dan mampan.
“Dalam suasana ekonomi semasa, keupayaan untuk mempelbagaikan instrumen pembiayaan amat penting bagi menjamin kestabilan fiskal negeri serta daya tahan jangka panjang,” katanya.
Program Sukuk Wakalah ini juga membolehkan PKB mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan tradisional, di samping menyediakan ruang yang lebih fleksibel dalam melaksanakan perniagaan dan pelaburan strategik yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Untuk rekod, PKB merupakan anak syarikat PKINK yang memainkan peranan utama dalam menggerakkan industri Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu sejak 1992. Dalam tempoh 33 tahun, ia terus berkembang hasil ilham Allahyarham Tan Sri Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika memimpin negeri di bawah pentadbiran Membangun Bersama Islam, dengan matlamat membebaskan rakyat daripada amalan riba.


0 Comments