Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 21 November – Perjanjian Program Terbitan Sukuk Wakalah bernilai RM300 juta antara Permodalan Kelantan Berhad (PKB), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), dengan Maybank Investment Bank Berhad membuktikan keyakinan institusi kewangan terhadap potensi serta kestabilan ekonomi Negeri Kelantan.
Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, pemeteraian perjanjian itu bukan sekadar proses formal menandatangani dokumen, tetapi menjadi tanda kepercayaan pasaran modal terhadap hala tuju pembangunan negeri.
“Perjanjian ini merupakan satu pengiktirafan bahawa syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) seperti PKB mampu bergerak seiring dengan pemain utama industri Ar-Rahnu di Malaysia. Ini juga menunjukkan bahawa model ekonomi Islam yang dibawa oleh Negeri Kelantan mampu bersaing dalam pasaran kewangan arus perdana setanding negeri-negeri lain,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian tersebut di sebuah hotel di sini hari ini.
![]() |
| Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud |
Menurut beliau, kerajaan negeri berharap Program Sukuk Wakalah PKB dapat menjadi landasan pembinaan ekosistem pelaburan yang lebih tersusun, bertanggungjawab dan berdaya tahan di Kelantan.
Jelasnya lagi, kejayaan PKB melaksanakan program berkenaan menunjukkan kematangan serta keseriusan syarikat itu dalam meneroka pasaran modal secara profesional.
“Saya juga berharap inisiatif ini membuka laluan kepada lebih banyak terbitan instrumen patuh Syariah bagi pembiayaan projek-projek pembangunan strategik negeri pada masa hadapan,” katanya.
Tambah YAB Menteri Besar, kejayaan tersebut bukan hanya menunjukkan kemampuan PKB sebagai agensi pelaburan negeri, tetapi turut memberi isyarat positif kepada keseluruhan ekosistem pembangunan ekonomi yang digerakkan kerajaan negeri.
“Impak penerbitan Sukuk ini memberikan gambaran jelas bahawa pentadbiran negeri berada pada landasan yang tepat serta terus bergerak secara efisien, telus dan profesional selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik.
“Penerbitan Sukuk ini menjadi permulaan kepada potensi yang lebih besar. Kita yakin kompetensi ini boleh dimanfaatkan untuk menerbitkan sukuk baharu, termasuk sukuk lestari bagi tujuan ekonomi strategik negeri seperti pembangunan kawasan perindustrian lestari, perladangan mampan, tenaga boleh baharu dan pengurusan mineral lestari di Kelantan,” katanya.
Penerbitan Sukuk Wakalah ini dilihat sebagai langkah penting ke arah tadbir urus yang lebih baik, selain menyokong pembangunan ekonomi mampan dan usaha mempelbagaikan sumber pembiayaan negeri melalui instrumen patuh Syariah berteraskan pelaburan bertanggungjawab.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut menyaksikan PKB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Dato' Sr. Zamri Ismail serta Pengurus Besar PKB, Hassan Shukri Hussein. Maybank pula diwakili Anuar Awang dan Sarina Dalik.
Turut hadir, Mantan Menteri Besar merangkap Pengerusi PKB, YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' Ahmad Yakob; Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato' Rosnazli Amin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Islam dan Maybank Islamic Berhad, Mohamad Yasin Abdullah serta Ahli Parlimen Kota Bharu, YB Dato' Seri Takiyuddin Hasan.



0 Comments