Projek agro belia: Kelantan aktifkan tanah terbiar, bina Pusat 3P sebagai hab pertanian


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 11 November - Kerajaan Negeri mengambil langkah strategik menggiatkan penyertaan belia dalam sektor pertanian melalui pembangunan kawasan tanah terbiar di DUN Gaal bagi projek pertanian komersial melibatkan keluasan 150 ekar di Gong Datok dan 100 ekar di Kandis.

Usaha tersebut diumumkan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Gaal YB Mohd Rodzi Jaa’far pada Persidangan Dewan Negeri Kelantan (Belanjawan), hari keempat, hari ini.

Menurutnya, projek berkenaan akan mengutamakan penyertaan belia tempatan dan memberi tumpuan kepada tanaman bernilai tinggi serta berpotensi besar di pasaran.

“Projek ini akan mengutamakan penyertaan belia tempatan dan berfokus kepada hasil yang mempunyai nilai pasaran tinggi. Kerajaan juga merancang pembinaan Pusat 3P (Pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan dan Pemasaran) di Gong Datok yang akan berfungsi sebagai pusat logistik dan hab pemasaran hasil tani, lengkap dengan kemudahan peralatan mengikut keperluan usahawan,” katanya.

Tambahnya, sasaran utama projek adalah membantu usahawan tani muda memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan, seiring sasaran kerajaan menjadikan sektor pertanian lebih moden, kompetitif dan berdaya saing.

Selain itu, jabatan dan agensi kerajaan turut menawarkan kursus dan bengkel pertanian secara percuma untuk meningkatkan kemahiran teknikal dalam bidang penanaman, ternakan, teknologi pertanian dan pemasaran.

Dalam aspek jaringan industri, kerajaan turut memfasilitasi hubungan rasmi antara usahawan tani dan syarikat korporat untuk pelaksanaan tanggung jawab sosial korporat (CSR), melibatkan pemberian input pertanian, penyediaan jentera serta khidmat nasihat teknikal.

“Kempen promosi melalui Facebook, TikTok dan media massa terus digiatkan bagi meningkatkan kesedaran belia terhadap peluang kerjaya dan sokongan yang disediakan kerajaan,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments