Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 11 November – Anak-anak Kelantan di perantauan terus diterap dengan nilai cinta dan kasih terhadap negeri melalui pelbagai program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan.
Usaha tersebut bertujuan memastikan mereka sentiasa terhubung dengan tanah air serta menyokong pembangunan negeri.
Menurut Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud, pimpinan negeri sering mengadakan program di tempat yang mempunyai ramai anak-anak Kelantan di perantauan.
"Kerajaan negeri sentiasa berulang alik di Kuala Lumpur, Sabah, Pahang, Sarawak, hampir semua tempat yang ada anak Kelantan. Pimpinan kerajaan negeri termasuklah YAB Menteri Besar turun untuk bersama-sama anak Kelantan di perantauan,” katanya menjawab soalan ADN Dabong YBM Ku Mohd Zaki Hussin, pada Persidangan Dewan Negeri Kelantan, hari keempat hari ini.
Antara program yang telah dijalankan ialah Program Townhall Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) di lima zon utama iaitu Zon Utara, Zon Selatan, Zon Lembah Klang, Zon Sabah dan Zon Sarawak yang menampilkan sesi dialog interaktif antara kepimpinan kerajaan negeri dan anak-anak perantau.
Program Sukan Anak Kelantan di Perantauan turut dianjurkan dengan pelbagai aktiviti sukan seperti bola sepak, takraw dan permainan lain, bertujuan mengukuhkan semangat kerjasama serta silaturahim dalam kalangan komuniti anak Kelantan.
"Selain tu, Kerajaan Negeri Kelantan telah mengadakan Program Mahabbah bersama anak Kelantan di perantauan pula melibatkan selebriti dan anak seni Kelantan, mahasiswa dan mahasiswi, serta masyarakat bukan islam di perantauan" ujarnya.
YB Mohd Asri turut memaklumkan bahawa antara program yang telah diadakan melalui 45 cawangan Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN Malaysia) ialah Ihya’ Ramadan, Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Back to School dan Program Kacau Bubur Asyura.


0 Comments