Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 12 November – Penjagaan ibu bapa oleh anak serta pemberian kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan nafkah kepada ibu bapa dan leluhur antara peruntukan baharu yang diperkenalkan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam 2025 yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Negeri Kelantan, semalam.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, peruntukan tersebut diwujudkan bagi menyelesaikan antaranya isu pengabaian warga emas selain memperkukuh tanggungjawab anak dan waris terhadap ibu bapa.
"Melalui peruntukan ini, mahkamah boleh memerintahkan anak atau cucu untuk membayar nafkah kepada ibu, bapa, datuk, nenek, moyang dan seterusnya.
Waris pusaka juga dipertanggungjawabkan untuk menjaga warga emas yang tidak mempunyai anak,” katanya.
Menurut YB Mohd Asri, langkah itu merupakan antara usaha kerajaan negeri memastikan undang-undang kekeluargaan Islam terus relevan dengan keperluan semasa dan berpaksikan prinsip keadilan Islam.
Beliau turut menjelaskan bahawa RUU berkenaan mengandungi 11 bahagian dengan 178 seksyen serta enam jadual yang merangkumi pelbagai aspek hukum kekeluargaan Islam.
"Rang undang-undang ini digubal bagi menjaga institusi kekeluargaan, melindungi hak dan tanggungjawab ahli keluarga, menyelesaikan konflik secara adil, melindungi golongan rentan seperti warga emas, wanita dan anak-anak, menjaga salasilah keturunan dan maruah, serta membantu pembangunan sosial selari dengan tuntutan Islam,” katanya.
Beliau memaklumkan, Enakmen Keluarga Islam 2002 yang sedang diguna pakai kini telah diwartakan pada 19 Disember 2002 dan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2003, namun tidak pernah dipinda selama 23 tahun.
"Maka, Rang Undang-Undang Keluarga Islam 2025 ini digubal bagi menggantikan Enakmen Keluarga Islam 2002 supaya lebih sesuai dengan perkembangan semasa,” jelasnya.
RUU Keluarga Islam 2025 telah menerima sokongan sebulat suara daripada Dewan Negeri Kelantan, menandakan komitmen penuh kerajaan negeri untuk memperkukuh dasar Islam melalui perundangan yang lebih menyeluruh, adil dan berpaksikan syariat.

0 Comments