Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 17 Disember – Sebanyak 14 usahawan tani di DUN Kota Lama menerima bantuan peralatan pertanian menerusi Majlis Penyampaian Bantuan Usahawan Tani Al-Falah dan Peralatan Pertanian DUN Kota Lama 2025 yang diadakan di Pusat Khidmat DUN Kota Lama pada Selasa.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, penyampaian bantuan berkenaan merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa ekonomi ummah melalui sektor pertanian.
Menurutnya, kawasan DUN Kota Lama yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi serta keluasan tanah yang terhad amat sesuai menerapkan pendekatan pertanian moden seperti vertical farming dan sistem fertigasi bagi mengoptimumkan penggunaan ruang, menjimatkan sumber serta menjamin hasil yang lebih konsisten.
“Pendekatan ini mampu meningkatkan produktiviti selain menjadikan aktiviti pertanian lebih tersusun dan berdaya maju walaupun di kawasan bandar,” katanya menerusi media sosial, pada Selasa.
Beliau berkata, selaras dengan keperluan tersebut, input pertanian yang disampaikan merangkumi pelbagai alatan dan jentera ringan bagi membantu para usahawan tani mengurus operasi harian dengan lebih efisien.
“Bantuan ini diharap dapat menjadikan pertanian sebagai sumber rezeki yang mampan, berdaya saing dan diberkati, insya-Allah,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Penyelia DUN Kota Lama Ir Nurshakiman Muhammad dan wakil agensi berkaitan yang terlibat dalam pembangunan sektor pertanian di DUN Kota Lama.




0 Comments